Mereka adalah terdiri daripada 41 orang Pelajar Terbaik dan Cemerlang, serta 60 orang Pengawas Terpilih tingkatan empat yang datang daripada kesemua 30 buah sekolah menengah di negeri Perlis

Program ini yang merupakan hasil idea baginda dan sudah dilaksanakan memasuki tahun ke-12 ia diadakan untuk pelajar cemerlang dan tahun ke-10 bagi pengawas terpilih adalah anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Dalam titah baginda selepas berangkat menghadiri sesi riadah suai kenal di pantai yang dikelolakan oleh Kapten Muhammad Azuan Mohamad Nasir dan Nik Faris Reza Datuk Khairi pada petang semalam, Tuanku Syed Faizuddin Putra menitahkan harapan baginda untuk melihat sekolah-sekolah di negeri Perlis berusaha keras untuk melahirkan para pelajar berketerampilan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara iaitu melahirkan insan yang berkemahiran, seimbang dan produktif.

Sesungguhnya pelajar-pelajar yang dilahirkan pada hari ini amat bertuah kerana dapat menimba ilmu dengan kemudahan fizikal yang kondusif dan moden bagi keperluan masa depan mereka.

Justeru itu, baginda berharap pelajar-pelajar akan terus berusaha bersungguh-sungguh untuk menimba ilmu dan kemahiran yang diajarkan oleh para guru demi untuk masa depan masing-masing.

Pada malam semalam pula para peserta diberikan ceramah berjudul ‘Kualiti Kepimpinan’ oleh Datuk Johari Mohd Darus dan kemudiannya menyertai kerja berkumpulan ‘Kepimpinan’ di bawah kendalian Timbalan Setiausaha Bahagian, Bahagian Perancan Ekonomi SUK Pulau Pinang, Affendi Rajini Kanth.

Terdahulu pada sebelah petangnya, para peserta turut menyertai program pendedahan ‘Improve Your English’ di bawah bimbingan Hakim Khan Mohamad Khan, Robert dan Tana Litowski dari Kanada serta Affendi Rajini Kanth.