Pengarah Urusan QSR Brands (M) Holdings Berhad, Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil diiringi Pengurus Besarnya Sharifah Musainah Syed Alwi hadir bagi mengagihkan sendiri kotak-kotak makanan berkenaan kepada setiap pelajar terbabit.

Tambah istimewa ialah keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil untuk bersama-sama di sepanjang program tahunan yang dianjurkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dan Jabatan Pendidikan Negeri Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) itu.

Sebelum itu Mohamed Azahari bersama-sama dengan Pakar Perunding Kanan Kardiotorasik Anestesiologi dan Perfusi, Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Jahizah Hassan diundang khas oleh pihak penganjur bagi menjadi panel di ‘Forum Ke Arah Masa Depan Kerjaya Yang Cemerlang’ bersempena bengkel berkenaan yang berlangsung dari 20-22 Ogos 2019.

Mohamed Azahari menasihatkan para peserta bengkel supaya sentiasa kekal relevan, berbeza (distinctive) dan bersyukur dalam apa jua bidang yang diceburi manakala Jahizah pula memberi penekanan kepada nilai keikhlasan, berterus terang, kerja dalam satu pasukan serta kredibiliti dalam perbincangan beliau.

Untuk rekod, pada hari ini QSR Brands memiliki 850 restoran KFC, 420 Pizza Hut dan 46 buah outlet Ayamas di seluruh negara dan dimaklumkan bahawa restoran pandu lalu atau ‘Drive Thru’ KFC pertama di Perlis yang terletak di Kangar Jaya berhadapan dengan Kompleks Ibupejabat Kontinjen Polis DiRaja Malaysia yang baharu di Seriab bakal dirasmikan pengoperasiannya oleh Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis pada awal bulan Januari 2020 yang akan datang nanti.