Baginda bertitah, ketaksuban ini yang jika tidak dibendung boleh mencapai tahap ketagihan atau obses, akan memberi impak negatif kepada generasi muda.

"Justeru, anak-anak dan generasi hari ini perlu didedahkan kembali dengan aktiviti fizikal, sukan, serta riadah dengan membawa mereka keluar rumah dan melakukan aktiviti ini secara bersama.

"Insya-Allah, jika ini dapat dilakukan, hubungan kekeluargaan, kejiranan dan persahabatan juga mampu dipereratkan," titah baginda.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Penutupan Program Merdeka Fit Challenge 2019 di Dataran Sheikh Ahmad di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Malaysia Perlis (Unimap) Holdings Sdn. Bhd., Baharudin Abd. Majid.

Turut hadir di majlis penutupan tersebut ialah Pegawai Kewangan negeri, Nasaruddin Abdul Muttalib, Naib Canselor Unimap, Prof Ts Dr. R. Badlishah Ahmad dan Pengerusi AIIMAN Asset Management Sdn. Bhd., Tunku Datuk Jaafar Laksamana Tunku Nong Jiwa.

Baginda seterusnya bertitah, sukan juga merupakan medium terbaik di dalam mengeratkan perpaduan terutamanya jika dimulakan daripada peringkat kanak-kanak.

Titah baginda, menerusinya, golongan ini dapat bergaul sesama mereka tanpa mengira kaum, budaya dan agama.

"Di sinilah semangat kekitaan, keharmonian dan perpaduan mula dibentuk dan menjadikan kita sebagai rakyat Malaysia menyayangi antara satu sama lain," titah baginda.

Program julung-julung kalinya dianjurkan itu berjaya menarik penyertaan lebih daripada 1,000 orang peserta bagi pelbagai kategori yang dipertandingkan ini termasuklah berbasikal sejauh 40 kilometer (km) dan 24 km serta larian 11 km dan lima km.

Aktiviti itu adalah anjuran Unimap Holdings Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri dan Jabatan Belia Dan Sukan Negeri.

Dalam pada itu, aktiviti kayuhan ini turut disekalikan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf kali ke-60 bagi tahun ini.

Pada masa sama, baginda turut berkenan merasmikan projek peningkatan sosio-ekonomi asnaf MAIPs berupa perusahaan bakeri oleh Noorulhuda Mohd. Nor, 61, yang beroperasi di No 10-A Kampung Guar Syed Alwi, Kangar sejak 2017.

Wanita itu pernah mendapat bantuan modal peralatan dalam bentuk 2 oven dan 1 mixer daripada pihak MAIPs berjumlah RM3,615 sebelum ini.

- UTUSAN ONLINE