“Beta ingin menyeru supaya Ahli-ahli Yang Berhormat sentiasa berfikiran rasional dan saling bekerjasama dalam mengekalkan kestabilan ini.
"Letakkan kepentingan rakyat di hadapan, mengatasi kepentingan politik peribadi.
"Beta yakin dengan perancangan teliti Kerajaan Negeri, didorong pula oleh suasana politik yang stabil, Perlis akan menjadi destinasi menarik kepada pelabur-pelabur dan akan terus bergerak maju," titahnya.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-14 di Kompleks DUN, di sini, hari ini.
Berangkat sama, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Tuanku Syed Sirajuddin seterusnya menyentuh mengenai kemajuan agenda pembangunan ekonomi negeri yang terkesan dan tidak dapat bergerak serta beroperasi sepenuhnya.
Baginda bertitah, adaptasi kepada pendekatan, mekanisme pelaksanaan, proses kerja dan idea kreatif serta inovatif perlu dibuat bagi memantapkan semula ekonomi negeri.
Justeru, jentera kerajaan perlu diperkukuh melalui program pembangunan modal insan yang bersesuaian.
Baginda turut mendoakan agar situasi wabak COVID-19 dalam negara bertambah baik dan rakyat dapat kembali menjalani kehidupan harian yang normal.
"Beta berharap segala perancangan dan tindakan yang diambil oleh Kerajaan Pusat dalam mendepani dan menangani wabak COVID-19 ini akan membuahkan hasil, Insya-Allah," tambah baginda.
Persidangan DUN Perlis berlangsung tiga hari bermula hari ini.