MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua anggota masyarakat hendaklah sentiasa berusaha bagi membantu usaha pasukan keselamatan dalam memperketat kawalan sempadan negara.
Titah baginda, rentetan pembukaan semula pintu sempadan negara seperti yang telah diumumkan baru-baru ini, usaha pasukan keselamatan dalam memperketat kawalan sempadan negara hendaklah disambut baik dengan menjadi mata dan telinga melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan berlaku dalam kawasan kejiranan atau tempat kerja masing-masing sekaligus dapat memastikan aktiviti jenayah rentas sempadan berkait penyeludupan termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat dikekang dengan sebaik mungkin.
Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyantuni dan menyampaikan sumbangan bingkisan juadah kering sempena Aidilfitri daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada para petugas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos Sekatan Jalan Raya Kuala Perlis baru-baru ini.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Di kesempatan yang sama Tuanku Raja Muda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidlifitri jepada seluruh warga pasukan keselamatan negara tidak kira di mana sahaja mereka berada dengan harapan semoga Allah swt sentiasa memberikan seluruh keluarga tersayang mereka dengan keselamatan dan kebaikan, dikurniakan ganjaran setimpal di sisi-Nya serta memelihara segala harta benda mereka.
Baginda berdua turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah atas komitmen jitu petugas Angkatan Tentera Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia, seluruh warga Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Keselamatan Negara serta seluruh agensi Negeri dan Persekutuan, swasta, pertubuhan dan orang perseorangan yang setia berkhidmat bahkan sanggup bergadai nyawa sepanjang tempoh ujian musibah Covid-19 ini.
Sumber: Suara Merdeka