MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR, 24 Jan. 2018 (Rabu) - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyumbangkan sebanyak RM500,000 kepada Sekolah Agama Al-Islahiyah Menengah (SAIM) dan Sekolah Agama Al-Islahiyah Rendah (SAIR).
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat bercemar duli menyerahkan sumbangan berkenaan di Kompleks Pendidikan Al-Islahiyah di Behor Mali semalam.
Keberangkatan baginda merangkap Yang DiPertua MAIPs itu adalah bersempena dengan program ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf’ kali ke-10 bagi tahun ini yang bermula dan berakhir di perkarangan Pusat Jagaan Rumah Sejahtera Baitul Hanan yang terletak di dalam kawasan Kompleks Pendidikan Al-Islahiyah tersebut.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor, sumbangan tersebut merangkumi RM350,000 untuk pengurusan SAIM dan RM150,000 bagi SAIR selain turut digunakan membina sebuah bangunan dewan makan serta tadika Islam bagi manfaat warga sekolah berkenaan.
Mohd. Nazim berkata, selain itu, MAIPs turut menyampaikan sumbangan berupa sistem pembesar suara dan baik pulih surau SAIM selain turut menyerahkan buku-buku agama kepada SAIR serta Rumah Sejahtera Baitul Hanan.
“Turut diserahkan sempena majlis tersebut ialah sumbangan zakat RM600 kepada setiap keluarga golongan asnaf terpilih dari kawasan Kampung Behor Rotan Pahit, Kampung Sungai Berembang, Kampung Behor Tui Timur dan juga para penghuni Rumah Baitul Hannan melibatkan seramai 43 orang dengan peruntukkan bernilai RM25,800,” katanya.
Sumber daripada UTUSAN ONLINE