MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
Indonesia, Pekanbaru, Riau.11 November 2019 - Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menghadiri majlis santapan malam yang diraikan oleh Majlis Ulama Indonesia (MUI) Riau di Hotel Pangeran Pekanbaru, Riau, Indonesia pada malam semalam.
Antara yang menyambut baginda di majlis tersebut ialah Sekretaris Jeneral MUI Pusat, Dr. Anuar Abbas, Ketua Muhammadiyah Riau, Dr. Saidul Amin, MA dan Ketua MUI Riau, Prof M.H Nazir.
Hadir sama Konsul Malaysia di Pekanbaru, Wan Nurshima Wan Jusoh.
Tuanku Raja Muda diiringi oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor dalam rangka lawatan kerja selama dua malam buat julung-julung kalinya baginda ke Riau pada kali ini.
Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyampaikan ucapan bagi mewakili seluruh delegasi dari Perlis di majlis tersebut.
Kesudian Tuanku Raja Muda Perlis berangkat ke Riau bagi menerima undangan untuk merasmikan ‘The 1st International Seminar On Regional Tajdid, Tahun 2019’ di Pekanbaru itu secara langsung memperteguhkan lagi jaringan hubungan kerjasama yang telah terjalin antara Perlis dan pimpinan Muhammadiyah Indonesia sebelum ini.
Dalam program berasingan awal pagi tadi pula, Menteri Besar diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri mengadakan kunjungan hormat ke atas Gabenor Provinsi Riau, Drs. Syamsuar M. Si, disusuli dengan perbincangan bersama kepimpinan Dewan Perniagaan Riau. Mohd Azman kemudian pada sebelah tengaharinya turut mengadakan pertemuan dengan pihak Persatuan Pelancongan Riau bagi membincangkan pelbagai peluang kerjasama yang boleh diterokai oleh kedua-dua belah pihak.
~SUMBER MAIPs~