KANGAR: Rasa selamat menjadi faktor utama yang menarik pelancong memilih destinasi percutian.
Justeru, Perlis perlu terus memastikan keselamatan terjamin, terutamanya bagi pelancong yang berkeluarga dengan anak-anak kecil.
Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menekankan perkara itu dalam kenyataan Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas melancarkan Promosi Masakan Perlis untuk kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024/2025 di Nigeria, baru-baru ini.
Titah baginda, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa meningkatkan rondaan di kawasan tumpuan pelancong, terutama semasa cuti sekolah dan cuti umum, untuk mengelakkan sebarang jenayah seperti penyeluk saku, pencurian beg dan peniaga yang memeras pelanggan.
“Pemain industri pelancongan juga diingatkan agar memastikan destinasi mereka sentiasa selamat dan mematuhi piawaian keselamatan tertinggi,” titah baginda.
Majlis yang diadakan di Restoran Cilantro Maitama, Abuja itu turut menyaksikan penyediaan ‘Kurma Daging Perlis’ oleh Ruzsyide Rosli, suami kepada Setiausaha Ketiga di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Sharifah Hazwani Balqis Syed Mohd Zawawi.
Hadir sama, anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail, serta beberapa delegasi termasuk Datuk Arif Perkasa Prof Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Nigeria, Aiyub Omar.
Tarikh kemaskini: 3/5/2025