KANGAR, 11 April 2019 (Khamis) – RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail zahir kesyukuran dan kegembiraan atas keprihatinan rakyat membantu pihak berkuasa menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) etnik Rohingya di Perlis, baru-baru ini.
Baginda bertitah, tindakan masyarakat setempat di sekitar Pantai Sungai Bahru, Kampung Belati yang melaporkan kepada pihak polis mengenai pencerobohan itu adalah tindakan berani dan berharap momentum sama dapat dikekalkan.
“Langkah pantas mereka (penduduk setempat) haruslah dipuji sehingga pihak berkuasa memberkas PATI dalam jumlah besar pada 8 April dan awal Mac lalu.
“Menyedari kekangan keanggotaan dan aset sedia ada oleh agensi penguatkuasaan dalam mengawal perairan yang terlalu dekat dengan negara Thailand, beta berharap masyarakat setempat dapat memainkan peranan membantu pihak berkuasa dalam mempertahankan kedaulatan negara,” titah baginda dalam satu kenyataan dikeluarkan Istana Arau hari ini.
Baginda turut menasihati rakyat supaya mereka sentiasa bersedia menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa pada masa akan datang.
“Laporkan apa sahaja tindakan atau kegiatan yang didapati mencurigakan di kawasan masing-masing.
“Ia termasuk sarang dadah dan ketum, ajaran sesat, penyeludupan dan pemerdagangan senjata api atau barangan terlarang, perjudian haram, pencerobohan hutan, lokasi lepak pelajar ponteng sekolah dan lain lagi.
“Ini supaya tindakan awal dan sewajarnya dapat diambil sebelum ia melarat dan sukar untuk dibendung,” titah baginda.
Harian Metro sebelum ini melaporkan, 40 PATI Rohingya lelaki berusia antara 14 hingga 30 tahun mendarat di Sungai Bahru, Kampung Belati seawal jam 7 pagi.
Kehadiran mereka disedari penduduk kampung yang ketika itu sedang keluar untuk bekerja dan ke jeti Kuala Sungai Bahru untuk aktiviti perikanan.
Kesemua mereka belayar daripada Myanmar selama lapan hari untuk memasuki ke negara ini melalui ejen dan perlu membayar RM4,000 setiap seorang.
Tarikh kemaskini: 3/6/2025