KUALA LUMPUR 19 Mac – Dalam Islam, konsep ihsan amat ditekankan, di mana kita dituntut untuk berbuat baik bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga kepada masyarakat sekeliling.
Bulan Ramadan yang penuh barakah ini adalah bulan keampunan, rahmat, dan kasih sayang. Ia merupakan bulan yang mengajar kita erti kesabaran, keikhlasan, serta kepedulian terhadap mereka yang kurang bernasib baik.
Pada kesempatan yang sama, marilah sama-sama berdoa agar Ramadan ini terus memberi kita semua keberkatan dan keredaan. Semoga Ramadan ini juga menjadi medan untuk kita berjaya meningkatkan ketakwaan, memperkukuh silaturahim, dan menyemai nilai kasih sayang dalam masyarakat.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri Majlis Iftar yang dihoskan oleh Lembaga Pengarah Dhaya Maju Infrastructure (Asia) -DMIA- Sdn Berhad yang diadakan di salah sebuah hotel di ibunegara.
Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Pengerusi Kumpulan DMIA, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Panglima Mohd Azumi Mohamed (B) dan Pengarah Eksekutifnya, Datuk Seri Dr. Subramaniam Pillai.