Pendidikan, sahsiah diri asas masyarakat

KANGAR: Pendidikan serta pembentukan sahsiah dan jati diri anak-anak adalah asas utama dalam membina masyarakat yang progresif dan berdaya saing.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri Majlis Santapan Tengahari bersempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-23 Jemaah Dato’-Dato’ (JEMAAH) Perlis yang berlangsung di The Putra Regency Hotel, Kangar.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Presiden JEMAAH Perlis, Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak (Bersara) dan Timbalan beliau, Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menyeru agar JEMAAH Perlis berganding bahu menyumbang idea, kemahiran dan kepakaran dalam usaha mencari sumber dana alternatif yang mampan. Langkah ini penting bagi memastikan kesinambungan bantuan pendidikan kepada para pelajar di Negeri Perlis.

Baginda turut berharap bantuan daripada pertubuhan ini juga dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh golongan kurang bernasib baik bagi memperoleh akses pendidikan yang lebih baik.

“Saya percaya pertubuhan ini mempunyai potensi besar untuk terus maju dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang bermanfaat. JEMAAH Perlis perlu terus memberikan sumbangan kepada masyarakat, terutamanya dengan menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk pelajar”, titah Baginda lagi.

Tuanku Raja Muda turut menegaskan bahawa usaha untuk meningkatkan kemahiran dalam kalangan guru dan pelajar perlu terus diberi perhatian. Jika berkemampuan, pembangunan infrastruktur sekolah juga wajar dipertimbangkan agar dapat mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa dan berkesan.

Untuk rekod, JEMAAH Perlis merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dan berperanan sebagai platform bagi individu bergelar Datuk di Negeri Perlis untuk menyumbang kepada pembangunan sosial dan ekonomi negeri.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content