Oleh: Sholina Osman
17 JUN 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat meninjau ‘Projek Kebun Komuniti Tanaman Sayur’ yang diusahakan oleh Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Bukit Kayangan, Kangar.
Kebun ini menanam pelbagai jenis sayur seperti cili, kobis dan kangkung, dengan tujuan menjana pendapatan tambahan kepada komuniti setempat.
Antara impak positif projek ini termasuklah peningkatan kesejahteraan ekonomi melalui hasil jualan sayur, pemerkasaan perpaduan komuniti menerusi semangat gotong-royong, peluasan kawasan hijau di kawasan bandar serta memelihara kelestarian alam sekitar melalui amalan pertanian terkawal dan penanaman semula yang mampan.
SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN
Raja Muda mengetuai ‘Program Kayuhan Kembara Perpaduan’ mengambil sempena ‘Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Perlis’ yang dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar bandar Kangar.
Program ini turut disertai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Mohamad Sobri Mat Daud, berserta lebih 200 peserta lain.
Inisiatif kayuhan ini telah memberi manfaat kepada 11 penerima terpilih terdiri daripada warga emas dan individu memerlukan menerusi penyerahan ‘Sumbangan Kotak Rahmah RT Cares’ oleh JPNIN serta sumbangan tambahan berupa agihan zakat MAIPs bagi penerima Muslim dan dari Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis untuk yang bukan Islam.
KAWASAN RUKUN TETANGGA
Yang menerima bantuan adalah merupakan penduduk dari tiga Kawasan Rukun Tetangga (KRT) iaitu KRT Taman Dato’ Jaafar, KRT Taman Bukit Kayangan dan KRT Taman Mas Ria. Mereka adalah Aziz Mat Isa, 76, Normah Harun, 64, Ahmad Ali, 86, Sabariah Semah, 52, Yusof Mahamud, 62, Sadon Pin, 74, Raja Segeri a/p Velayudha, 65, Yew Ah Kin, 60, Mariama a/p Raju, 71, Nor Osman, 73 dan Saad Senawi, 83.
Para peserta kayuhan turut meluangkan masa singgah di Pasar Terapung JPS di Pengkalan Asam, Kangar sebagai tanda sokongan kepada kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang disambung selama setahun lagi sehingga penghujung tahun hadapan sebagai kesinambungan kepada Tahun Melawat Malaysia 2026. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia