Oleh: Sholina Osman
19 JULAI 2025
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru agar kerajaan serta agensi-agensi berkaitan terus memperkukuh dasar dan memperluas inisiatif sokongan yang lebih menyeluruh merangkumi bidang pendidikan, kesihatan, penyelidikan dan pembangunan sosio-ekonomi demi kesejahteraan jangka panjang para pejuang sindrom Tourette di negara ini.
Baginda bertitah, kesedaran dan sokongan awal amat penting bagi memastikan mereka sentiasa menerima perhatian yang sewajarnya.
Masyarakat diseru agar lebih cakna dan bersikap inklusif, kerana setiap insan berhak berkembang mengikut potensi terbaik mereka.
Raja Muda tertarik dengan pendekatan holistik Tourette Association of Malaysia (TAM) yang menyokong pejuang Tourette dan keluarga, sambil mendidik masyarakat agar lebih inklusif, prihatin dan berempati.
KESEDARAN SINDROM TOURETTE
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Program Kesedaran Sindrom Tourette di Auditorium Zecon Hotel, Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK), Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Penaung Tourette Association of Malaysia (TAM), Datuk Badrul Hanif Ahmad Hadi dan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti UKM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak.
Turut hadir sama ialah Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Indera Dr Nor Azimi Yunus dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank Rakyat, Ahmad Shahril Mohd Shariff.
Program tersebut dianjurkan oleh Tourette Association of Malaysia (TAM) dengan kerjasama Hospital Pakar Kanak-Kanak UKM (HPKK), Yayasan Bank Rakyat, serta beberapa rakan strategik lain. Inisiatif ini merupakan langkah penting dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap cabaran yang dihadapi oleh individu dengan Sindrom Tourette.
SEBUAH PLATFORM NASIONAL
Penaung TAM, Datuk Badrul Hanif dalam ucapan aluannya menyatakan, persatuan ini ditubuhkan sebagai sebuah platform nasional yang memperjuangkan kefahaman, hak, dan sokongan terhadap pejuang Tourette serta keluarga mereka.
Namun, perjuangan ini tidak boleh digalas sendirian. Ia menuntut kerjasama erat daripada pelbagai agensi kerajaan, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat, dan sektor swasta.
“TAM kekal komited dalam menjalankan usaha berterusan melalui kempen pendidikan awam, khidmat sokongan, dan pelbagai inisiatif inklusif demi memperkasa komuniti Tourette di Malaysia”, tambah beliau lagi.
Sempena program tersebut, Raja Muda dan Raja Puan Muda turut berkenan mengadakan lawatan ke wad kanak-kanak dan menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada kanak-kanak yang terpilih. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia