KIGALI, Rwanda, 24 Julai 2025 – Pesta Air Antarabangsa Kuala Perlis 2025 dijadualkan berlangsung dari 12 hingga 16 September 2025, dan buat julung kalinya diangkat ke peringkat antarabangsa. Orang ramai serta pasukan dari dalam dan luar negara dialu-alukan menyertai dan memeriahkan temasya tahunan yang menjadi lambang identiti maritim negeri Perlis itu.
Pengumuman tersebut dibuat oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selepas berkenan melancarkan program “Perlis Food Promotion” di Borneo Indonesian Restaurant, Kigali, ibu negara Rwanda.
Program tersebut dianjurkan dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya — sebagai sebahagian daripada inisiatif mempromosikan keunikan warisan kulinari Perlis ke pentas antarabangsa.
Acara yang berprestij ini mengetengahkan Kurma Daging Perlis, satu sajian tradisional yang melambangkan kekayaan rasa serta identiti budaya negeri paling utara Semenanjung Malaysia.
Hidangan istimewa tersebut disediakan khas untuk memperkenalkan Perlis kepada masyarakat antarabangsa, terutamanya komuniti diplomatik dan korporat di Rwanda.
“Kehadiran Perlis di Rwanda hari ini bukan sekadar mempromosikan makanan, tetapi membawa bersama identiti dan keramahan rakyat Malaysia kepada dunia,” titah Tuanku Raja Muda.
Dalam titah ringkas baginda, Raja Muda Perlis menekankan bahawa program seperti ini bukan sahaja menyemarakkan diplomasi budaya, tetapi turut membuka ruang kepada kerjasama pelancongan, ekonomi dan sosial antara Perlis dan komuniti antarabangsa.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran:
Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil
Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail
Mufti Perlis, Datuk Arif Perkasa Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor
Setiausaha Kedua Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Syarafina Adilah Ahmad Nasir
Serta dua warga Malaysia di Kigali, Steven Lim Teik Jeall dan Ho Yoke Yen
Selain segmen jamuan, program turut menampilkan bahan promosi pelancongan, landskap, produk kebudayaan dan destinasi utama negeri Perlis melalui sesi interaktif bersama tetamu jemputan.
Safar Ilmi MAIPs Kukuh Jejak Global Perlis
Program ini merupakan sebahagian daripada rangka lawatan “Safar Ilmi MAIPs 2025” yang diketuai Raja Muda Perlis ke Rwanda, memperlihatkan kesungguhan Perlis dan MAIPs dalam memperluas jaringan kerjasama antarabangsa melalui pendekatan budaya, makanan, pendidikan dan diplomasi rakyat.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia