Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan penentu hala tuju pendidikan dan kerjaya bagi setiap murid.
Tempoh 100 hari terakhir sebelum menjelang peperiksaan ini adalah fasa genting yang memerlukan fokus, strategi, dan motivasi yang tinggi untuk menghadapinya.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menzahirkan pesanan agar calon-calon SPM di Perlis sentiasa berfikiran positif, memberi perhatian kepada ulangkaji secara berfokus dan sistematik, melakukan latihan secara intensif, dan mampu menguruskan masa dengan bijaksana.
“Sokongan dan keprihatinan guru serta seluruh ahli keluarga tersayang dalam menghadapi saat getir ini berupaya merangsang minda yang cerdas dan menjadi penawar emosi yang stabil serta jiwa yang tenang menjelang peperiksaan,” titah Baginda lagi.
MELALUI SIARAN VIDEO
Demikian titah perutusan Tuanku Syed Faizuddin Putra melalui siaran video sempena Program 100 hari Menjulang Aspirasi GPN 4.45@SPM 2025 di Dewan 2020 Kangar.
Program ini merupakan inisiatif yang dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang akan menduduki peperiksaan penting bermula pada awal November 2025 yang akan datang ini.
Tuanku Raja Muda turut menzahirkan supaya para pelajar merancang jadual belajar yang sistematik, membuat ulangkaji secara berterusan serta membuat persediaan awal dan tidak menunggu saat-saat akhir.
Para pelajar juga diingatkan untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan menjaga kesihatan fizikal, mental, serta bijak menangani emosi masing-masing. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia
Tarikh kemaskini: 8/26/2025