Dapur Cakna MAIPs diperkenal

Dapur Cakna MAIPs diperkenal3

8 November 2025.
Arau.

‘Dapur Cakna MAIPs’ diperkenalkan oleh Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sebagai satu inisiatif ‘First Responder’ bagi membantu mengurangkan tekanan peringkat awal bencana banjir di negeri Perlis kali ini, sejajar dengan konsep Community Based Disaster Management (CBDM) yang memfokuskan penglibatan komuniti sebagai barisan utama membantu mangsa.

Peruntukan khas bagi melaksanakan inisiatif ini disalurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Pihak pengurusan masjid dan rumah amil dengan sokongan seluruh kariah telah berganding bahu mengadakan gotong-royong menyediakan juadah tambahan untuk mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat-pusat Penempatan Sementara (PPS) yang memerlukan di seluruh negeri.

Usaha ini diketuai oleh jawatankuasa masjid dan para jemaah yang berkhidmat secara sukarela tanpa mengira masa dalam menyediakan sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam kepada mangsa terbabit.

Demikian dipersembah maklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dalam sesi taklimat di lapangan kepada Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena keberangkatan baginda berangkat meninjau pengoperasian ‘Program Dapur Cakna MAIPs’ bagi membantu mangsa-mangsa banjir di negeri ini di Masjid Al-Mursyid, Guring, serta Rumah Amil Kampung Behor Mempelam baru-baru ini.

Mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, bersama anakanda-anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Tuanku Raja Muda menitahkan agar tiada kompromi terhadap aspek keselamatan dan kebersihan makanan meskipun ketika krisis bencana yang sedang melanda.

Baginda menegaskan bahawa walaupun penyediaan makanan dilakukan secara tergesa-gesa untuk memenuhi keperluan mangsa yang ramai, prinsip keselamatan makanan termasuk lokasi penyediaan, tempat memasak, kebersihan peralatan, pengendalian bahan mentah, suhu masakan, serta kaedah pembungkusan tetap perlu dipatuhi bagi memastikan kesihatan mangsa terpelihara dan mengelakkan risiko keracunan makanan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada anak-anak kariah di semua masjid-masjid yang terlibat, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung, dalam menyediakan hidangan kepada mangsa banjir melalui ‘Dapur Cakna MAIPs’ itu.

Baginda berharap agar usaha murni tersebut terus diperkukuh malah dipertingkatkan lagi dan menjadi inspirasi kepada lebih ramai pihak untuk bersama-sama membantu meringankan beban mereka yang terkesan.

“Semangat kesukarelawanan dan kebersamaan yang ditonjolkan oleh kariah masjid dan masyarakat setempat bukan sahaja mengurangkan tekanan yang dihadapi mangsa, malah mengukuhkan ukhwah dan memperlihatkan kekuatan komuniti ketika berdepan dugaan,” titah Tuanku Syed Faizuddin Putra.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.