Tuanku Raja Perlis Sokong Cadangan Nat Antarabangsa, Seru Koperasi Teroka Sektor Berimpak Tinggi

73d4e03b 59c7 4568 a23f 3caacdedbce2

Disember 2025.
Kangar.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tertarik dengan cadangan ‘Nat Antarabangsa’ di tanah milik ANGKASA di Kg. Banat, Arau, di tepi lebuhraya Changlun – Kuala Perlis. Ianya jika berjaya direalisasikan diharap bukan sahaja sebuah urusan perniagaan, namun dapat menjadi salah satu produk destinasi pelancongan baru di Perlis.

Baginda turut menyatakan rasa syukur serta menekankan kepentingan memperkukuh ekosistem koperasi dan pembangunan ekonomi setempat, khususnya di Perlis yang mempunyai kedudukan strategik dalam koridor IMT–GT.

Tuanku Raja Perlis seterusnya menyeru agar gerakan koperasi di Malaysia mengubah persepsi lama yang sering mengaitkan koperasi dengan skim potongan gaji semata-mata. Sebaliknya, koperasi perlu berani meneroka sektor ekonomi berimpak tinggi, termasuk pertanian dan penternakan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), pembangunan perumahan, serta sektor peruncitan.

Baginda turut menyarankan agar ANGKASA dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menggembleng sepenuhnya potensi perdagangan di rantau IMT–GT sebuah pasaran luas yang merangkumi lebih 90 juta penduduk.

Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Perasmian Peluncuran Buku ‘Never Fully Invest at All Times’ dan ‘Peluncuran Tahun Bisnes Koperasi ANGKASA Perlis 2026’, yang berlangsung di Kangar.

Menyambut ialah Pengerusi INSKEN, Datuk Haji Mustaffa Kamil Ayub dan Pengerusi Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS) Dr Ammar Hassan.

Keberangkatan Baginda diiringi oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam.

Majlis ini dianjurkan oleh Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS), Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan UiTM Cawangan Perlis.

Dalam ucapannya, Datuk Mustaffa Kamil Ayub, memaklumkan bahawa ANGKASA dan INSKEN melihat peluasan serta pengukuhan koperasi dan pembangunan keusahawanan di Perlis sebagai selari dengan visi di bawah Rancangan Struktur Negeri Perlis 2030 (RSN Perlis 2030).

Pelan tersebut menjadi panduan pembangunan fizikal, ekonomi, dan sosial, ke arah menjadikan Perlis sebagai “Negeri Bandaraya 2030”, dengan penekanan terhadap perancangan guna tanah, pertumbuhan ekonomi, pembangunan luar bandar, serta perancangan mampan.

Selain itu, strategi pendigitalan dan transformasi perkhidmatan Kerajaan Negeri melalui Pelan Digital Perlis 2021–2025 turut membuka ruang luas kepada koperasi untuk memanfaatkan teknologi digital dalam tadbir urus, pemasaran, logistik, rantaian bekalan, dan peningkatan perkhidmatan kepada anggota.

Perlis, yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, sejarah, dan budaya, juga memiliki potensi besar untuk mengaktifkan pelancongan komuniti, sekali gus menarik pelancong domestik dan antarabangsa serta menjana pendapatan dan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Pengerusi INSKEN tersebut turut menyeru agar Kerajaan Negeri terus memberi ruang dan peluang kepada gerakan koperasi untuk terlibat secara aktif dalam agenda pembangunan negeri. Beliau menegaskan bahawa koperasi bukan pesaing, sebaliknya pelengkap dalam sektor seperti pertanian, pelancongan desa, pembangunan komuniti, agro, dan ekonomi mikro, selaras dengan aspirasi pembangunan negeri.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan simbolik peluncuran buku Never Fully Invest at All Times, yang ditulis oleh Dr Tan Chong Koay yang mendapat gelaran “Warren Buffett of Asia“ daripada penyelenggara Konferensi Penciptaan Kekayaan Dunia di Singapura pada tahun 2017. Ia merupakan sebuah segmen baharu INSKEN yang menekankan pendekatan pelaburan lebih berwaspada dan strategik bagi para usahawan.

Pengalaman dan pengetahuan yang dikupas dalam buku tersebut wajar dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat untuk memperkukuh kedudukan kewangan peribadi, keluarga, serta perniagaan pada masa kini.

Sempena program tersebut Tun Mohd Ali menerima daripada Tuanku Raja anugerah ‘Tokoh Penggiat Melayu Nusantara’ manakala Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah pula dikurniakan ‘Tokoh Penggiat Koperasi Nusantara.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.