KANGAR, 22 Disember 2025 — Ilmu merupakan asas penting kepada kemajuan dan kemakmuran negeri, manakala masyarakat berilmu bukan sekadar tahu, tetapi memahami tanggungjawab sosial dalam membina kehidupan bersama yang beradab dan berwawasan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah budaya berfikir, berdialog dan berkongsi ilmu perlu sentiasa disemarakkan agar Perlis terus berkembang sebagai negeri ilmu yang melahirkan umat beradab, inklusif dan berpandangan jauh.
“Satukan pemikiran dalam semangat perpaduan. Dalam kepelbagaian pandangan lahir kematangan, seterusnya memacu kemajuan masyarakat,” titah baginda ketika berkenan menerima kunjungan mengadap Presiden Alif Society, Dawood Auleear, di Kangar, baru-baru ini.
Baginda turut menegaskan perbezaan wajar diraikan kerana ilmu tidak dibatasi pangkat, bangsa atau ideologi, sebaliknya menghubungkan semua melalui nilai keikhlasan, saling menghormati dan kasih sayang sesama insan — asas pembinaan umat yang bersatu dan berwawasan.
Hadir sama pada sesi tersebut ialah Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Untuk rekod, Alif Society sebelum ini telah menghantar beberapa pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Selain itu, Alif Society Mauritius turut menjalin kerjasama strategik dengan MAIPs bagi meneroka dan memperkukuh inisiatif pembangunan sosial serta bantuan kemasyarakatan yang berimpak tinggi dan mampan.
Kerjasama kedua-dua pihak juga pernah dizahirkan menerusi penganjuran International Conference on Tajdid bersama rakan antarabangsa, menghimpunkan ilmuwan, sarjana dan penggerak organisasi umat Islam serantau.
Tarikh kemaskini: 12/23/2025