KANGAR, 24 Disember 2025 — Konsep perpaduan nasional dapat diperkukuh melalui amalan toleransi dan sikap hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, sekali gus meningkatkan kesepaduan sosial dan membina hubungan yang harmoni ke arah merealisasikan aspirasi negeri serta negara yang bersatu padu.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, menurut kenyataan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas Baginda berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli di sekitar Behor Pulai, Kangar, baru-baru ini.
Baginda turut menekankan bahawa para pemimpin di semua peringkat perlu bertindak secara proaktif bagi menggalakkan persefahaman dan kerjasama dalam masyarakat, di samping terus menghargai serta memelihara keamanan dan keharmonian yang telah dibina.
Kayuhan MAIPs Peduli merupakan program kebajikan berkonsepkan aktiviti berbasikal yang digabungkan dengan misi menyantuni asnaf di seluruh negeri. Antara objektif utamanya ialah menjejaki dan membantu golongan memerlukan secara turun padang, menyampaikan bantuan zakat termasuk wang tunai, bakul makanan dan bantuan khas MAIPs, selain mengukuhkan hubungan institusi agama dengan masyarakat, memupuk gaya hidup sihat serta meningkatkan kesedaran terhadap peranan MAIPs dalam menjaga kebajikan umat Islam.
Sempena program tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga penerima asnaf, iaitu Meriyam Mat, 56, dari Kampung Guar Syed Alwi; Mohd Fairol Azman Ishak, 47, dari Kampung Sungai Bakong; dan Mohammad Bakri Ahmad, 41, dari Kampung Behor Gandil.
Setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM700, Kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi meringankan beban keperluan harian mereka.