Oleh: Sholina Osman
23 APRIL 2026
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa Pelan Strategik Bersasar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi tempoh 2026–2030 merupakan satu komitmen besar dalam memperkukuh peranan institusi zakat sebagai pemangkin pembangunan asnaf, pembangunan insan, serta kemajuan negeri Perlis secara menyeluruh.
Baginda bertitah, pelan strategik tersebut menggariskan misi serta perancangan masa hadapan MAIPs yang jelas, tersusun dan berfokus.
Namun demikian, Tuanku Syed Faizuddin Putra menegaskan bahawa kejayaan pelaksanaannya menuntut komitmen tinggi, kekuatan tenaga kerja yang berdaya saing, serta kedudukan kewangan yang mampan.
UNTUK BERGANDING BAHU
Baginda menyeru agar semua pihak termasuk pemegang taruh, agensi-agensi, badan bukan kerajaan, sektor swasta, serta para sukarelawan untuk berganding bahu bersama MAIPs dalam menghadapi apa jua cabaran demi memastikan kejayaan pelan ini.
Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis selaku Yang DiPertua ketika berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran Program Jerayawara Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026–2030 yang berlangsung di Kompleks Seri Putra, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
HALA TUJU BAHARU
Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026–2030 merupakan kerangka hala tuju baharu yang dirangka untuk memperkukuh pembangunan ummah melalui pendekatan yang lebih mampan dan inklusif.
Pelan ini memberi penekanan kepada beberapa fokus utama iaitu peningkatan keberkesanan program dan ketelusan, pembangunan pendidikan Islam, pemerkasaan ekonomi dan kebajikan, serta inovasi dalam tadbir urus.
Sempena program tersebut, turut diadakan pembentangan impak Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026–2030 bersama asatizah dan sukarelawan MAIPs, selain sesi tausiyah oleh Mufti Perlis, Profesor Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia