PAUH PUTRA, 25 April 2026 — Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat ke Majlis Amal Gemilang Persatuan Isteri dan Kakitangan Wanita (PISKANITA) Universiti Malaysia Perlis 2026 yang berjaya mengumpul sumbangan melebihi RM260,000 bagi menyokong agenda kebajikan mahasiswa serta komuniti berkeperluan khas.
Keberangkatan Baginda diiringi Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Canselor UniMAP serta anakanda puteri sulung Baginda, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Turut hadir Zambry Abd Kadir, Azlinda Azman, Naib Canselor UniMAP Zaliman Sauli serta penyumbang terbesar majlis, Fng Ah Seng.
Pengerusi PISKANITA UniMAP, Datin Azliza Ahmad berkata, sepanjang tahun ini pihaknya terus memperkukuh peranan sebagai peneraju kebajikan menerusi lebih 50 program berimpak tinggi, termasuk pelaksanaan inisiatif Gerobok Rezeki di kolej kediaman bagi membantu pelajar memerlukan.
Menurut beliau, dana yang dikumpulkan akan dimanfaatkan untuk penyediaan komputer riba kepada pelajar asnaf selain menyokong operasi pusat terapi kanak-kanak autistik melalui Program A-HEART UniMAP.
“Inisiatif ini penting bagi memperluas akses pendidikan serta menyediakan sokongan intervensi awal yang berkualiti kepada golongan sasar,” katanya.
Penganjuran majlis itu selari dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 yang menekankan kesejahteraan mahasiswa secara holistik serta memperkukuh jaringan strategik antara universiti, industri dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia
Last updated: 4/27/2026