Oleh: Sholina Osman
25 APRIL 2026
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Perlis International Marathon (PIM) 2026 di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Keberangkatan Baginda mencerminkan sokongan padu institusi diraja terhadap pembangunan sukan dan sektor pelancongan di negeri ini.
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Baginda berdua diiringi oleh anakanda-anakanda puteri, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
PANDEMIK COVID-19
Terakhir sekali Perlis International Marathon diadakan ialah sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia.
Acara larian antarabangsa anjuran Majlis Sukan Negeri Perlis ini bukan sahaja berjaya menarik minat 7,000 peminat sukan larian, malah menjadi platform pertemuan atlet dari pelbagai pelusuk dunia.
Sebagai salah satu acara kemuncak dalam kalendar Sambutan Ulang Tahun Keputeraan Tuanku Raja Perlis ke-84 dan juga Tahun Melawat Perlis, penganjuran PIM 2026 memainkan peranan strategik dalam memperkenalkan keindahan dan keunikan negeri Perlis kepada komuniti global.
MEMPERKUKUH STATUS PERLIS
Usaha ini secara langsung memperkukuh status Perlis sebagai destinasi pelancongan sukan yang kompetitif dan bertaraf antarabangsa.
PIM kali ini menyaksikan persaingan sengit dalam empat kategori utama iaitu larian marathon penuh 42 kilometer (KM), separuh marathon 21KM, larian 10KM, serta kategori Fun Run 5KM yang disertai oleh peserta pelbagai lapisan umur.
Kemuncak majlis menyaksikan Tuanku Syed Sirajuddin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang kategori elit 42KM, manakala Tuanku Syed Faizuddin Putra menyempurnakan penyampaian hadiah bagi kategori 21KM.
Kejayaan penganjuran Perlis International Marathon 2026 ini bukan sekadar memupuk budaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan rakyat, tetapi juga membuktikan kemampuan negeri ini dalam mengendalikan acara sukan berskala besar, selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Perlis 2024-2026 untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui sektor pelancongan. – JM
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia