PADANG BESAR, 5 Julai – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bakal memanfaatkan data yang dikumpulkan menerusi program Kayuhan MAIPs Peduli bagi menubuhkan inkubator perniagaan asnaf mikro melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM), sekali gus memperkukuh usaha membasmi kemiskinan secara mampan di negeri ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, maklumat yang diperoleh secara masa nyata menerusi program tersebut membolehkan MAIPs mengenal pasti profil, potensi serta lokasi sebenar golongan asnaf bagi merangka program pembangunan ekonomi yang lebih bersasar dan berkesan.
Menurut baginda, MAIPs juga perlu memperkasakan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Perlis, Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin serta pelbagai agensi berkaitan untuk melatih golongan miskin dalam bidang Pertanian Moden (Smart Farming) dan Ekonomi Digital.
Baginda bertitah, dana zakat tidak seharusnya hanya tertumpu kepada bantuan sara hidup yang bersifat konsumtif, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai modal pusingan dan dana permulaan bagi membantu asnaf membina perniagaan yang berdaya maju.
“Golongan asnaf boleh dibimbing menggunakan teknologi moden seperti sistem fertigasi automasi, penderia Internet Kebendaan (IoT) dan hidroponik menegak bagi meningkatkan produktiviti pertanian walaupun di kawasan tanah yang terhad.
“Pada masa sama, mereka juga perlu dilatih dalam kemahiran pemasaran digital, pengurusan kewangan secara dalam talian serta penjenamaan produk supaya mampu menembusi pasaran yang lebih luas,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyertai program Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Felda Rimba Mas, dekat sini, baru-baru ini.
Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Menurut baginda, inisiatif berkenaan sejajar dengan agenda “Mustahiq to Muzakki MAIPs (M2MM)” di bawah Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026-2030 yang menyasarkan transformasi golongan asnaf daripada penerima zakat kepada penyumbang zakat.
Baginda turut menegaskan langkah proaktif itu berpotensi menjadikan Perlis sebagai pelopor model pembasmian kemiskinan berasaskan ekonomi Islam lestari yang berkesan di negara ini.
Dalam program sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan bantuan MAIPs kepada tiga asnaf terpilih iaitu Zaharan Tayib, 77, Bedah Yayaya, 90, dan Fadzaillah Mahd Dali, 75, yang menetap di Kampung Rimba Mas.
Program Kayuhan MAIPs Peduli dilaksanakan secara berkala bagi menjejaki, menyantuni dan memahami sendiri cabaran hidup golongan asnaf di seluruh Perlis, selain mengukuhkan hubungan antara institusi agama, pemimpin dan masyarakat setempat.
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia