GUAR NANGKA, 21 Sept – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) memperhebat usaha membasmi kemiskinan dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada bantuan kewangan, malah membina keupayaan, sikap dan kesedaran golongan asnaf untuk meningkatkan taraf hidup.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pendekatan itu dilaksanakan menerusi pelbagai program di bawah Inisiatif IKHTIAR yang menjadi sebahagian daripada Gagasan Pelan Strategik Bersasar MAIPs 2026–2030.
Menurut baginda, antara program yang dilaksanakan ialah Program Bangun Jiwa Asnaf yang sering dianjurkan pada hari Jumaat serta aktiviti turun padang menerusi Program Kayuhan MAIPs Peduli.
“MAIPs turut memprakarsai Bengkel Ikhtiar Membasmi Kemiskinan dengan menggembleng kerjasama pelbagai agensi pemberi bantuan bagi merancang langkah intervensi yang lebih berkesan serta meningkatkan kesedaran golongan sasaran secara menyeluruh,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, pembentukan watak dan sahsiah masyarakat turut diberi perhatian menerusi Pelan Masyarakat Perlis Berhikmah.
Menerusi pelan berkenaan, nilai positif termasuk sikap rajin berusaha dan patuh kepada peraturan akan terus diterapkan dalam kalangan masyarakat.
Baginda bertitah, usaha berterusan itu penting bagi memastikan keupayaan ekonomi dan jati diri golongan asnaf dapat diperkasakan secara mampan, sekali gus membantu mereka membina kehidupan yang lebih baik.
Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah demikian selepas berkenan mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Guar Nangka dan Kok Klang baru-baru ini.
Kayuhan yang bermula dan berakhir di Pusat Koreksional Perlis itu merupakan antara pendekatan MAIPs menggabungkan aktiviti riadah dengan usaha mendekati serta menyantuni masyarakat, khususnya golongan memerlukan.
Sempena program berkenaan, baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sumbangan MAIPs kepada tiga asnaf dari Kampung Paya Burma, Kok Klang.
Mereka ialah Bedah Mat Hassan, 79; Siti Ramlah Rahim, 77; dan Mahasa Sabu, 77.
Program berkenaan bukan sahaja bertujuan meringankan beban penerima, malah menjadi wadah mendekatkan institusi agama dengan masyarakat serta menyemarakkan semangat kepedulian dan kebersamaan dalam kalangan rakyat Perlis.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyerahkan secara simbolik sumbangan MAIPs berjumlah RM3,000 kepada Jabatan Penjara Negeri Perlis bagi keperluan Pusat Kehadiran bagi daerah Kangar.