Perlis berpotensi tampil sebagai destinasi pelancongan Islam beridentiti tersendiri

ARAU, 24 Sept — Perlis berpotensi diketengahkan bukan sekadar sebagai destinasi pelancongan, malah sebagai negeri yang menawarkan naratif, identiti dan warisan tersendiri bagi memberikan pengalaman bermakna kepada setiap pengunjung.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kekuatan negeri itu dari aspek sejarah, budaya, alam semula jadi serta identiti tempatan merupakan aset penting yang boleh diperkasa dalam pembangunan pelancongan berteraskan nilai Islam.

Baginda bertitah, penyelidikan berkaitan pelancongan Islam, warisan, kelestarian dan budaya juga tidak seharusnya terhenti pada peringkat akademik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada dasar, inovasi dan penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Penyelidikan dalam bidang pelancongan Islam, warisan, kelestarian dan budaya perlu diterjemahkan kepada dasar, inovasi serta penyelesaian yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Hasil persidangan ini juga perlu diteruskan melalui kajian dan tindakan yang menyokong pembangunan Perlis, Malaysia serta komuniti antarabangsa,” titah Baginda.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan perasmian UniSIRAJ International Islamic Tourism, Heritage, Research & Awareness (UniTHRA) 2026 di Dewan Sivik di sini.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) disambut Naib Canselor UniSIRAJ, Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada UniSIRAJ dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atas usaha menjadikan UniTHRA sebagai platform menghimpunkan ahli akademik, penyelidik, penggiat industri pelancongan, kerajaan serta pemegang taruh.

Menurut Baginda, penglibatan pelbagai pihak itu penting dalam membentuk pendekatan pembangunan pelancongan Islam yang lebih tepat, praktikal dan mampu memberikan impak kepada masyarakat.

UniTHRA 2026 yang dianjurkan UniSIRAJ menghimpunkan kira-kira 200 peserta terdiri daripada pakar akademik, pemain industri serta tokoh agama dari dalam dan luar negara.

Bertemakan “Empowering Islamic Tourism for Sustainable Development”, persidangan itu menjadi platform antarabangsa bagi membincangkan peranan penyelidikan dan warisan dalam memperkasa industri pelancongan Islam secara mampan.

Perbincangan turut memberi tumpuan kepada potensi ekonomi Islam dalam sektor pelancongan, selain meneroka pendekatan bagi memperkukuh pemeliharaan warisan Islam serta pembangunan ekosistem pelancongan mesra Muslim.

Penganjuran UniTHRA 2026 juga mencerminkan usaha UniSIRAJ memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi dan memperluas jaringan serta wacana antarabangsa berkaitan pelancongan Islam, warisan dan pembangunan mampan.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content
This site is registered on wpml.org as a development site. Switch to a production site key to remove this banner.