PADANG BESAR, 24 Sept (Bernama) — Setiap rakyat wajar mengetahui hak dan tanggungjawab masing-masing dengan memahami saluran perundangan yang tersedia serta mendapatkan panduan tepat apabila memerlukan khidmat berkaitan.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah Jabatan Bantuan Guaman (JBG) memainkan peranan penting dalam perkara itu sebagai penghubung antara masyarakat dengan sistem keadilan.
“Khidmat yang disediakan membantu rakyat memahami hak mereka, mendapatkan panduan serta memilih saluran penyelesaian bersesuaian,” titah baginda semasa menyempurnakan majlis penutup Wacana JBG “Yang Jauh Didekati, Yang Sulit Disantuni” 2026 Perlis di Felda Rimba Mas di sini hari ini.
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menyaksikan acara menandatangani Nota Kerjasama antara JBG dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sementara itu, baginda bertitah Wacana JBG itu memberi pendedahan mengenai perkembangan terkini perkhidmatan yang ditawarkan termasuk peluasan bidang bantuan guaman dalam perkara sivil dan syariah, Pusat Mediasi MADANI, Pendamping Guaman serta Pembelaan Awam.
Baginda bertitah perkongsian seperti itu wajar diperluas agar pengetahuan berkaitan undang-undang dapat disampaikan kepada masyarakat dengan lebih meluas.
“Setiap peserta juga boleh menjadi penghubung yang membantu orang sekeliling mengenali hak, memahami saluran yang tersedia dan mendapatkan khidmat perundangan dengan lebih mudah,” titah baginda.
Mengenai Nota Kerjasama itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah kerjasama itu mencerminkan kesungguhan dua institusi tersebut dalam memperluas manfaat perkhidmatan kepada masyarakat, khususnya golongan asnaf.
— BERNAMA