Arau – Perlis mempunyai potensi untuk diketengahkan bukan sekadar sebagai destinasi pelancongan, malah sebagai negeri yang menawarkan naratif, identiti dan warisan tersendiri bagi memberikan pengalaman bermakna kepada setiap pengunjung.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Tuanku Canselor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian program UniSIRAJ International Islamic Tourism, Heritage, Research and Awareness (UniTHRA) 2026 di Dewan Sivik, di sini, pagi tadi.
Baginda bertitah, kekuatan Perlis dalam aspek sejarah, budaya, alam semula jadi dan identiti tempatan merupakan aset yang boleh diperkasakan untuk membangunkan pelancongan berteraskan nilai Islam serta keunikan negeri.
“Penyelidikan dalam bidang pelancongan Islam, warisan, kelestarian dan budaya perlu diterjemahkan kepada dasar, inovasi serta penyelesaian yang memberikan manfaat kepada rakyat.
“Hasil persidangan ini juga perlu diteruskan melalui kajian dan tindakan yang menyokong pembangunan Perlis, Malaysia serta komuniti antarabangsa,” titah baginda.
Tuanku Raja Muda turut menzahirkan penghargaan kepada UniSIRAJ dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) atas usaha menjadikan UniTHRA 2026 sebagai platform yang mempertemukan ahli akademik, pemain industri, penyelidik, penggiat pelancongan, kerajaan dan pemegang taruh serta tokoh agama dari dalam dan luar negara untuk membentuk pendekatan yang lebih tepat dan praktikal.
Bertemakan “Empowering Islamic Tourism for Sustainable Development”, program yang melibatkan 200 orang peserta ini menjadi platform antarabangsa untuk membincangkan peranan warisan dan penyelidikan untuk memperkasakan industri pelancongan Islam secara mampan.
Perbincangan turut memberikan tumpuan kepada potensi ekonomi Islam dalam sektor pelancongan, di samping meneroka pendekatan bagi memperkukuh pemeliharaan warisan Islam dan pembangunan pelancongan mesra Muslim.
Penganjuran UniTHRA 2026 mencerminkan komitmen berterusan UniSIRAJ untuk memperkukuh penyelidikan berimpak tinggi serta memperluas wacana antarabangsa berkaitan pelancongan Islam, warisan dan pembangunan mampan.