ARAU, 26 Sept — Perlis memasang impian besar untuk menjayakan Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030 dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, khususnya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Aspirasi itu antara perkara yang diberi perhatian ketika Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menerima mengadap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil di Balai Mengadap Biru, Istana Arau, hari ini.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, manakala turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah.
Menurut kenyataan Istana Arau, pertemuan berkenaan menjadi ruang bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa bidang komunikasi, khususnya kepentingan memastikan penyampaian maklumat yang tepat, berkesan dan mudah diakses masyarakat.
Dalam konteks Perlis, kemajuan sektor komunikasi dan keterhubungan digital dilihat mempunyai peranan penting dalam merapatkan hubungan masyarakat selain memperluaskan akses kepada maklumat serta membuka lebih banyak peluang dalam bidang pendidikan, ekonomi dan pembangunan komuniti.
Pada masa sama, aspek literasi digital turut diberikan perhatian bagi memastikan masyarakat, khususnya generasi muda, mampu memanfaatkan perkembangan teknologi secara positif, berhemah dan bertanggungjawab.
Pertemuan itu turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuhkan ekosistem komunikasi di Perlis supaya manfaat kemajuan teknologi serta akses kepada maklumat dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat.
Usaha mempertingkatkan keterhubungan digital itu juga penting dalam merealisasikan aspirasi Perlis untuk menjayakan Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis 2030.
Sehubungan itu, Perlis berharap mendapat sokongan dan bantuan Kerajaan Persekutuan menerusi MCMC bagi memperkukuhkan infrastruktur serta ekosistem digital yang diperlukan untuk menjayakan agenda berkenaan.
Suara Merdeka
Foto: Istana Arau