PAUH PUTRA, 1 Okt: Kemajuan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi baharu tidak seharusnya dinilai semata-mata berdasarkan manfaat atau kecanggihannya, sebaliknya perlu dipandu kebijaksanaan serta menghormati maruah manusia.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, penggunaan teknologi juga perlu menjunjung prinsip keadilan dan memastikan manfaatnya dapat dinikmati masyarakat serta menyumbang kepada kepentingan bersama.
Baginda bertitah, perkara itu semakin penting ketika AI dan pelbagai teknologi baharu semakin mempengaruhi kehidupan manusia serta mengubah cara masyarakat belajar, bekerja dan berinteraksi.
Dalam masa sama, Tuanku Syed Faizuddin Putra menekankan peranan bahasa, pendidikan dan pelancongan sebagai tiga bidang penting dalam membina masyarakat yang lebih saling memahami dan berdaya tahan.
“Bahasa merupakan jambatan yang menghubungkan budaya, pendidikan menjadi wadah memperkasa insan, manakala pelancongan membuka ruang dan peluang untuk memperkukuh kesedaran terhadap kepelbagaian budaya serta kelestarian alam sekitar,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan perasmian The 6th International Conference on Languages, Education and Tourism (ICLET 2026) secara dalam talian.
ICLET 2026 bertemakan “Harmony in Flux: Innovating Language, Education and Tourism for a Resilient Future” atau “Keharmonian dalam Perubahan: Menginovasi Bahasa, Pendidikan dan Pelancongan demi Masa Depan yang Berdaya Tahan”. SumberPendidikan
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berharap persidangan berkenaan bukan sekadar menjadi medan pertukaran ilmu, sebaliknya menghasilkan jaringan kerjasama dan idea baharu yang boleh diterjemahkan kepada manfaat lebih besar.
“Saya amat berharap agar persidangan ini dapat memberikan impak yang bermakna dan berpanjangan kepada semua peserta, bukan sahaja melalui perkongsian ilmu dan pandangan, tetapi juga melalui jaringan kerjasama serta idea-idea baharu yang dapat diterjemahkan kepada manfaat yang lebih luas,” titah baginda.
Persidangan antarabangsa dwitahunan itu diterajui Kulliyyah Pelancongan Mampan dan Bahasa Kontemporari, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Pagoh dengan kerjasama strategik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Majlis Dekan Bahasa Universiti Awam (MaLDeC).
Ia menghimpunkan ahli akademik, penyelidik dan pengamal industri bagi berkongsi hasil kajian, pengalaman serta strategi dalam menghadapi cabaran global, khususnya melibatkan bidang bahasa, pendidikan dan pelancongan.
ICLET 2026 turut memberi tumpuan kepada usaha menyinergikan kepelbagaian bahasa, evolusi sistem pendidikan serta dinamika industri pelancongan secara inovatif bagi membina komuniti global yang lebih mampan dan berdaya tahan.
Foto: Istana Arau