Enam wanita hebat terima Anugerah Teknologi YTF 2026, hadiah keseluruhan RM75,000

Enam wanita hebat terima Anugerah Teknologi YTF 2026, hadiah keseluruhan RM75,000

KUALA LUMPUR, 17 Okt – Enam wanita Malaysia yang mencipta kecemerlangan dalam bidang teknologi, penyelidikan, inovasi dan kepimpinan menerima pengiktirafan menerusi Anugerah Wanita dalam Teknologi Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) 2026, dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM75,000.

Majlis penganugerahan yang berlangsung di Hotel Ritz-Carlton, Kuala Lumpur itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-80 Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.

Majlis berprestij itu diserikan dengan keberangkatan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah.

Turut berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis merangkap Pengerusi YTF, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Bagi kategori Wanita dalam Teknologi Senior, Datin Paduka Setia Dato’ Dr. Aini Ideris dinobatkan sebagai penerima Hadiah Utama dan membawa pulang wang tunai RM30,000.

Profesor Ir. Ts. Dr. Suraya Abdul Rashid pula menerima Anugerah Khas Bintang Harapan berserta RM10,000, manakala Dr. Haniza Yon dianugerahkan Anugerah Khas Pengubah Industri dengan hadiah RM10,000.

Dalam kategori Junior, Profesor Madya Ir. Ts. Dr. Serene Lock Sow Mun muncul penerima Hadiah Utama dan membawa pulang RM15,000.

Dua lagi penerima ialah Dr. Marlinda Ab Rahman yang menerima Anugerah Bintang Harapan dan Profesor Madya Sr. Ts. Dr. Afzan Ahmad Zaini yang meraih Anugerah Pengubah Industri, masing-masing menerima RM5,000.

Kejayaan wanita Malaysia setanding peringkat global

Sementara itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen bertitah, kejayaan penerima anugerah membuktikan bahawa kepakaran wanita tempatan bukan sahaja mampu bersaing pada peringkat antarabangsa, malah menjadi antara tunjang penting pertumbuhan ekonomi digital negara.

“YTF sentiasa komited dalam membuka ruang dan mengangkat martabat wanita Malaysia yang berani memecah tradisi dalam bidang berimpak tinggi.

“Kejayaan penerima ini adalah bukti jelas bahawa kepakaran wanita tempatan bukan sahaja setanding di peringkat global, malah menjadi tunjang utama dalam memacu pertumbuhan ekonomi berasaskan digital dan teknologi negara,” titah baginda.

Anugerah yang dilancarkan pada Ogos lalu itu menerima lebih 60 pencalonan daripada pelbagai sektor termasuk akademik, industri dan kerajaan.

Penganjurannya diterajui Tan Sri Datuk Seri Profesor Dr. Ng Yen Yen dengan kerjasama Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT).

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MIGHT, Ts. Rushdi Abdul Rahim berkata, pengiktirafan tersebut bukan sekadar menghargai pencapaian individu, sebaliknya menyerlahkan peranan penting wanita dalam mencorakkan masa depan industri negara.

Menurutnya, kejayaan enam penerima anugerah berkenaan diharap menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita muda untuk meneroka bidang sains, teknologi dan inovasi.

Beliau berkata, penglibatan lebih ramai wanita dalam sektor berteknologi tinggi penting bagi memperkukuh daya saing industri serta mempercepat transformasi ekonomi negara.

YTF yang ditubuhkan pada 19 April 2004 oleh Tuanku Tengku Fauziah ketika baginda merupakan Raja Permaisuri Agong terus memainkan peranan memperkasa wanita melalui penyediaan biasiswa pendidikan, latihan industri dan program pembangunan kepimpinan.

Berteraskan moto Women in Search of Excellence (WiSE), yayasan itu komited memperluas peluang wanita untuk mencapai kecemerlangan serta menyumbang kepada pembangunan negara.

Penganjuran Anugerah Wanita dalam Teknologi YTF 2026 turut mencerminkan usaha memperkukuh keterangkuman dan kesaksamaan peluang dalam sektor teknologi, sekali gus mengangkat bakat wanita Malaysia sebagai pemacu inovasi masa depan.

– SUARA MERDEKA

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content