KUALA LUMPUR, 20 Okt – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menitahkan supaya usaha menangani masalah keciciran pelajar di negeri itu dipergiat melalui pendekatan menyeluruh bagi memastikan generasi muda tidak tercicir daripada sistem pendidikan.
Baginda bertitah, segala usaha dan penelitian secara holistik perlu dilipatgandakan dengan memberikan tumpuan khusus terhadap langkah meminimumkan kadar keciciran pelajar di Perlis.
Menurut baginda, penerapan disiplin yang mantap sejak di bangku sekolah merupakan benteng paling ampuh dalam membentuk sahsiah generasi muda, sekali gus menghindarkan mereka daripada terjerumus dalam gejala sosial yang merugikan.
Titah itu disampaikan sempena Majlis Santapan Malam Jemaah Dato’-Dato’ Perlis 2026 yang berlangsung di Hotel InterContinental, Kuala Lumpur.
Terdahulu, Tuanku Syed Sirajuddin bersama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menghadiri majlis berkenaan.
Keberangkatan tiba pasangan diraja itu disambut Presiden Jemaah Dato’-Dato’ Perlis, Mejar Jeneral Datuk Husin Md Tahak (Bersara).
Turut berangkat ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Mengiringi keberangkatan baginda ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta kekanda-kekandanya, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail. RujukanGeografi
Hadir sama Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Haji Mohd Ali Mohd Rustam bersama isteri, Toh Puan Datuk Wira (Dr.) Hajah Asmah Abd Rahman.
Penganjuran majlis tahunan itu mencerminkan komitmen Jemaah Dato’-Dato’ Perlis dalam memelihara hubungan erat dengan institusi diraja, selain memperkukuh kesepakatan dan semangat muafakat dalam kalangan ahlinya.
Majlis berkenaan turut menjadi wadah mengeratkan silaturahim serta memperkukuh hubungan antara kepimpinan negeri, institusi diraja dan anggota Jemaah Dato’-Dato’ Perlis demi keharmonian serta kesejahteraan negeri.
– SUARA MERDEKA