PAUH PUTRA, 4 Nov – Penganjuran julung kali Mahrajan Siraj 2026 oleh Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) menjadi platform penting dalam mencungkil bakat mahasiswa, memperkasa kreativiti serta mengukuhkan hubungan antara universiti, masyarakat dan komuniti antarabangsa.
Festival yang menggabungkan elemen kesenian, keusahawanan dan akademik itu berjaya menarik penyertaan pelajar serta masyarakat menerusi pelbagai pertandingan dan aktiviti yang memberi penekanan kepada pembangunan potensi mahasiswa secara menyeluruh.
Antara pertandingan yang dianjurkan ialah Pidato Bahasa Inggeris, Nasyid, Bookstagram, Musang Berjanggut, Timbang Takraw, Explorace dan kejohanan e-sukan Mobile Legends.
Kemuncak festival berkenaan diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ke Majlis Perasmian Penutup di Auditorium KUIPs Holdings, Kampus Pauh Putra, baru-baru ini.
Keberangkatan baginda berdua disambut Naib Canselor UniSIRAJ, Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle.
Pada majlis itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Canselor UniSIRAJ berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Pidato Bahasa Inggeris dan Nasyid.
Tuanku Lailatul Shahreen pula berkenan menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan Bookstagram, Musang Berjanggut, Timbang Takraw, Explorace dan Mobile Legends.
Baginda berdua turut meluangkan masa beramah mesra dengan peserta selain melawat reruai UniSIRAJ Global Village Exhibition yang mengetengahkan keunikan budaya, identiti dan kepelbagaian masyarakat antarabangsa.
Sebanyak 10 negara mengambil bahagian dalam pameran berkenaan, iaitu Vietnam, Nigeria, Myanmar, Thailand, Palestin, Afghanistan, Pakistan, Yaman, Sudan dan Indonesia.
Penyertaan negara-negara terbabit bukan sahaja memperkenalkan warisan budaya masing-masing, malah membuka ruang kepada mahasiswa tempatan dan antarabangsa untuk saling mengenali serta memahami kepelbagaian budaya.
Penganjuran Mahrajan Siraj 2026 turut memperlihatkan pendekatan UniSIRAJ dalam memperluas pengalaman pembelajaran mahasiswa melangkaui bilik kuliah melalui aktiviti kepimpinan, komunikasi, kesenian, sukan dan teknologi digital.
Festival berkenaan sekali gus menjadi wadah memperkukuh hubungan universiti dengan masyarakat, selain menyokong usaha UniSIRAJ melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut memiliki kemahiran insaniah, kreativiti dan kemampuan berinteraksi dalam persekitaran global.
Mahrajan Siraj 2026 membuktikan bahawa pembangunan mahasiswa tidak terhad kepada pencapaian akademik semata-mata, sebaliknya turut merangkumi pembentukan sahsiah, pengembangan bakat dan kefahaman silang budaya.