YTSP Perlis Salur RM32,000 Kepada 32 Bayi Menerusi Tabung Putra Petri

YTSP

KANGAR, 5 Nov – Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis menyalurkan sumbangan berjumlah RM32,000 kepada 32 bayi terpilih di negeri ini menerusi Tabung Putra Petri 2026 sebagai usaha membina asas kewangan kukuh sejak usia kelahiran.

Setiap bayi menerima simpanan sebanyak RM1,000 yang hanya boleh dikeluarkan apabila mereka mencapai usia 18 tahun.

Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Sumbangan Simpanan Bayi Lahir Tabung Putra Petri 2026, di sini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.
Daripada keseluruhan penerima, seramai 29 bayi beragama Islam terdiri daripada 17 lelaki dan 12 perempuan, manakala tiga bayi bukan Islam membabitkan seorang lelaki dan dua perempuan.

Menerusi inisiatif berkenaan, simpanan bayi beragama Islam dikreditkan terus ke akaun Lembaga Tabung Haji dan mereka turut didaftarkan sebagai bakal haji.

Bagi bayi bukan Islam pula, sumbangan disalurkan ke akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).
Keseluruhan simpanan itu diuruskan di bawah amanah YTSP Perlis dengan ibu bapa atau penjaga tidak dibenarkan membuat sebarang pengeluaran bagi memastikan manfaatnya kekal sehingga penerima mencapai usia dewasa.

Program tahunan berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Hospital Tuanku Fauziah (HTF), ASNB, Lembaga Tabung Haji serta pengasas The Mines Resort & Golf Club, Tan Sri Lee Kim Yew.

Inisiatif itu bukan sahaja membantu keluarga yang layak, malah bertujuan memupuk budaya menabung sejak kecil dan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan perancangan kewangan jangka panjang.

YTSP Perlis berharap sumbangan berkenaan dapat menjadi permulaan kepada pembentukan generasi muda yang lebih berdisiplin dalam pengurusan kewangan serta bersedia menghadapi cabaran kehidupan pada masa hadapan.

Usaha itu turut mencerminkan komitmen berterusan YTSP Perlis yang dipengerusikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dalam memperkukuh kebajikan masyarakat dan kesejahteraan keluarga tanpa mengira latar belakang agama.

Turut hadir Pengarah Hospital Tuanku Fauziah, Dr. Haji Amin Sah Haji Ahmad; Pengarah Wilayah Utara Lembaga Tabung Haji, Haji Nizan Johar Abd Wahab dan Pengarah Wilayah Utara ASNB, Rotasya Haron.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content