KANGAR, 15 Nov – Faizuddin Centre of Educational Excellence (FCoEE) terus memperkukuh agenda pembangunan modal insan di Perlis menerusi program intervensi pendidikan yang membantu 62 murid terpilih daripada keluarga asnaf membuat persediaan melangkah ke alam persekolahan menengah.
Program itu bukan sahaja memberi penekanan kepada kecemerlangan akademik, malah turut memfokuskan pembentukan jati diri, peningkatan keyakinan serta pengukuhan kesiapsiagaan mental dan emosi murid dalam menghadapi cabaran baharu.
Puteri kedua Raja Muda Perlis, Hajah Sharifah Farah Adriana Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Ahli Lembaga Pengarah FCoEE, berkenan berangkat menyerikan Majlis Perasmian Penutupan Program Pembangunan Diri Siri 3 dan Misi Alam Menengah Program Pemangkin Pembangunan Insan Terpilih MADANI (PPITM) Fasa 2 Tahun 2026 di sini.
Hadir sama Pengerusi FCoEE, Prof. Emeritus Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Ketua Penolong Pengarah (Unit Sains dan Matematik), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perlis, Hajjah Idza Zulzila Idris.
Program berkenaan melibatkan murid terpilih dari sekolah di seluruh Perlis yang mendapat bimbingan fasilitator, guru pembimbing serta pakar pendidikan bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran di peringkat menengah.
Majlis itu turut menyaksikan penyampaian sijil pengiktirafan kepada rakan strategik FCoEE sebagai penghargaan atas sumbangan, kepakaran dan sokongan dalam menjayakan pelbagai inisiatif pendidikan serta kebajikan pelajar sepanjang 2026.
Antara rakan strategik berkenaan ialah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), JPN Perlis, institusi pengajian tinggi tempatan, agensi kerajaan serta sektor korporat.
Kerjasama erat dengan pelbagai pihak berkepentingan itu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan program pendidikan yang lebih inklusif dan berimpak tinggi, khususnya dalam membuka peluang pembangunan potensi murid daripada keluarga kurang berkemampuan.
FCoEE akan terus memperluas pelaksanaan program intervensi pendidikan dan pembangunan insan secara berfasa bagi memastikan setiap murid di Perlis berpeluang mengembangkan potensi diri serta menikmati akses kepada pendidikan berkualiti tanpa ada yang tercicir daripada arus kecemerlangan. – SUARA MERDEKA