MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
KANGAR: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) melalui Perlis Volunteer Action Community (PVAC) menyerahkan sumbangan bahan makanan asas kepada 300 buah keluarga di Kampung Perigi, Yan, Kedah dan beberapa kawasan sekitarnya yang terjejas akibat fenomena kepala air di kaki Gunung Jerai baru-baru ini.
MAIPs dalam satu kenyataan memberitahu, penyampaian sumbangan dengan bantuan HPA Industries itu turut disampaikan kepada penduduk di Kampung Pauh, Kampung Sungai Udang dan Kampung Setul.
Katanya, sumbangan berupa beras, gula, garam, tepung dan bihun tersebut diserahkan Pengerusi PVAC, Effendey Harun kepada bekas Setiausaha Sulit Raja Perlis, Mohd Sokri Hussin untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan di kawasan terbabit.
“Simbolik pelepasan para sukarelawan PVAC seramai 12 orang dalam misi kali ini disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di perkarangan Bangunan Pejabat MAIPs 2.
“Bahan makanan mentah berkenaan adalah sebahagian daripada sumbangan yang telah disalurkan oleh Kelab Permotoran DZ Bikers Malaysia dan mendapat kerjasama Tengku Laksamana Kelantan, Tengku Abdul Halim Ibni Almarhum Sultan Ibrahim dan Tengku Puan Laksamana Kelantan, Datuk Seri Diraja Sharifah Azwan Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail,” kata kenyataan itu di sini hari ini.
Sementara itu, dalam aktiviti berasingan, Tuanku Syed Faizuddin merangkap Pengerusi YTSP berkongsi mengenai sambutan Hari Pembasmian Kemiskinan Antarabangsa yang diraikan pada setiap 17 Oktober bagi meningkatkan kesedaran masyarakat kepentingan mengakhiri kemiskinan global.
“Pada hari ini, anggaran kemiskinan global adalah lebih kurang 8.6 peratus dari populasi dunia. Menurut Bank Dunia, Sudan Selatan mencatatkan kadar kemiskinan tertinggi di dunia iaitu sebanyak 82.3 peratus,” titah baginda.
Sumber: UTUSAN ONLINE