Pejabat SUK perlis

Majlis Agama Dan Istiadat Melayu Perlis - Keunggulan Wanita Sejati Ummahat al-Mukminin

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS

login MAIPs Pop ENg

Log in

A- A A+
MAIPs Staff

MAIPs STAFF MENU

Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.

Public
SERVICES
DOWNLOAD
Keunggulan Wanita Sejati Ummahat al-Mukminin

Keunggulan Wanita Sejati Ummahat al-Mukminin

/ Berita Terkini MAIPs / Thursday, 28 October 2021 07:34

KANGAR – Cinta akan Rasulullah SAW merupakan suatu perkara yang dituntut dalam agama kerana Baginda memberikan manfaat bukan sahaja di dunia, malah juga di akhirat. Oleh itu, apa-apa sahaja yang berkaitan dengan Rasulullah SAW amat penting untuk kita ketahui dan hayati. Begitulah juga dengan Ummahat al-Mukminin (ibu orang-orang beriman), iaitu gelaran kepada isteri-isteri Rasulullah SAW yang perlu kita kenali, hormati dan pelajari kisah mereka.

Dengan mengenali Ummahat al-Mukminin secara dekat, umat Islam akan lebih menghormati, memuliakan dan berusaha untuk mengambil semangat daripada sifat terpuji yang ditunjukkan oleh mereka.

Kedatangan Islam telah memartabatkan golongan wanita. Hal ini berbeza daripada wanita zaman jahiliah yang tidak diberikan sebarang penghormatan dan tidak dibenarkan untuk bersuara. Oleh sebab itu, Ummahat al-Mukminin tidak ketinggalan memberikan sumbangan dalam bidang keilmuwan dan kefatwaan. Sayidatina Aisyah umpamanya menjadi pakar rujuk para sahabat dalam permasalahan agama. Abu Musa al-Ash‘ari berkata, “Tidak ada satu hadis pun yang memberikan kemusykilan kepada kami melainkan kami akan dapati pada Aisyah ada jawapannya.”

Begitu juga dengan nama Ummu Salamah dan Ummu Habibah yang sangat biasa didengari bagi mereka yang mempelajari hadis Baginda. Jasa mereka dalam penyebaran ilmu yang bermanfaat ini perlu dicontohi oleh golongan wanita hari ini. Mereka tidak harus diketepikan dalam hal pembangunan ilmu.

Selain itu, tindakan Sayidatina Khadijah yang sangat bijak menenangkan Nabi Muhammad SAW setelah menerima wahyu pertama di Gua Hira juga perlu diberikan perhatian. Kisah ini memberikan indikator bahawa wanita perlu bertindak menjadi penenang kepada suami dan keluarga ketika berhadapan dengan cabaran dan tribulasi terutama pada waktu pandemik ini. Benarlah kata pepatah, “Setiap kejayaan lelaki pastinya ada wanita di belakangnya”.

Menelusuri sejarah Ummahat al-Mukminin akan menyebabkan umat Islam berasa kagum dengan tahap kesabaran mereka menghadapi ujian hidup. Aisyah r.anha pernah dituduh dengan tuduhan jahat oleh golongan munafik dalam peristiwa al-ifki. Kesabaran Aisyah ketika menghadapi ujian fitnah ini sangat mengagumkan. Tawakal kepada Allah SWT menjadikan beliau kuat meneruskan kehidupan sehingga turunnya wahyu untuk membersihkan nama beliau daripada fitnah jahat tersebut. Sifat ini harus dicontohi oleh umat ini apabila berhadapan dengan ujian, terutama pada zaman pandemik ini.

Di samping itu, keyakinan Ummahat al-Mukminin terhadap rahmat Allah SWT juga tidak boleh dilupakan. Lipatan sejarah membuktikan bahawa Ummu Salamah mengamalkan doa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW ketika ditimpa musibah kematian suaminya, Abu Salamah. Doa itu diamalkan dengan kepercayaan bahawa Allah SWT akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik. Akhirnya, Allah SWT memberikannya gantian yang lebih baik apabila Nabi Muhammad SAW menjadikannya sebagai isteri.

Antara sifat utama Ummahat al-Mukminin yang paling menonjol bagi sesiapa yang membaca sirah Nabi Muhammad SAW termasuklah penghormatan mereka terhadap suami. Sayidatina Aisyah umpamanya, apabila ditanya tentang sifat suaminya, beliau berkata, “Akhlak Baginda ialah al-Quran.”  Hal ini merupakan antara resipi kejayaan sesebuah keluarga yang patut dicontohi oleh wanita hari ini, iaitu menghormati suami sebagai ketua keluarga.

Demikian inti pati pembentangan yang disampaikan oleh Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle yang berjudul “Wacana: Ummahatul Mukminin, Suri Teladan Kecemerlangan Wanita” dalam Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) Siri Ke-2 pada 26 Oktober 2021. Webinar yang bertemakan “Women in Search of Excellence (WISE)” tersebut dianjurkan secara maya oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Jabatan Mufti Negeri Perlis, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan Suara Sunnah Channel.

Terdahulu, dalam titah perasmian, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa golongan wanita mempunyai potensi serta peranan besar, khususnya dalam hal mendidik anak-anak.

“Wanita bukan hanya mampu menguruskan rumah tangga semata-mata, tetapi berperanan besar untuk menyumbang ke arah pembentukan watak dan nilai terhadap anak-anak,” jelas baginda.

Sumber: Jendela BP

Please publish modules in offcanvas position.

splwpk-procurement splwpk-online-e-participation Dasar Privasi

Dasar Privasi

Dasar Privasi

Penafian

MYHRMIS MOBILE