Pejabat SUK perlis

Majlis Agama Dan Istiadat Melayu Perlis - Rahmat Islam dan Toleransi Agama

MAJLIS AGAMA ISLAM DAN ADAT ISTIADAT MELAYU PERLIS

login MAIPs Pop ENg

Log in

A- A A+
MAIPs Staff

MAIPs STAFF MENU

Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.

Public
SERVICES
DOWNLOAD
Rahmat Islam dan Toleransi Agama

Rahmat Islam dan Toleransi Agama

/ Berita Terkini MAIPs / Sunday, 31 October 2021 19:50

KANGAR – Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Madya Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, perbezaan tasamuh (toleransi) antara Islam dengan ajaran lain ialah Islam itu datang dengan perintah Allah SWT. Orang Islam bertasamuh bukan kerana mereka mahu mencari apa-apa keuntungan atau kerana ingin mengambil hati, tetapi kerana mereka mematuhi perintah Allah SWT.

Beliau berkata demikian ketika membincangkan tajuk “Toleransi Islam dalam Suasana Muslim Masa Kini” dalam Seminar Ummatan Wahidah Tahun 2021 yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Majlis-majlis Agama Islam Wilayah Satun, Trang, Phuket, Krabi, Phang Nga dan Ranong (Thailand) yang disiarkan melalui Facebook Langsung Suara Sunnah Channel pada malam tadi.

“Allah SWT tidak bersifat perkauman, bahkan Tuhan untuk semua. Oleh itu, orang Islam akan merasai rahmat Tuhan itu bukan sahaja bagi diri mereka, tetapi juga bagi orang bukan Islam,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, ‘Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai-bagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain)’. (Surah al-Hujurat 49:13).

Seorang lagi panel ialah Ustaz Abdullah Akem dari Majlis Agama Islam Satun, iaitu wakil dari enam Majlis Agama Islam Wilayah Andaman yang membicarakan tajuk “Risalah Islam Agama Rahmat”.

Menurut beliau, setiap Muslim itu bersaudara dan berada dalam satu kalimah syahadah, iaitu lailaha illallah Muhammad Rasulullah.

“Walau di mana kita berada, persaudaraan tidak terputus kerana kita berpegang dengan kalimah tauhid. Hubungan persaudaraan yang terbina ini lebih bermakna daripada pertalian darah.”

“Islam merupakan agama rahmat yang diwariskan oleh Nabi Muhammad SAW. Baginda telah menerima al-Quran dan agama Islam yang sampai kepada kita hari ini. Oleh itu, menjadi tugas dan tanggungjawab kita untuk mengikut sunnah Baginda,” katanya.

Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan Kami (Allah) tidak mengutus engkau Muhammad melainkan untuk rahmat sekalian alam”. (Surah al-Anbiya’ 21:107). Ayat ini menunjukkan bahawa rahmat dan kasih sayang Allah itu menyeluruh, termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan.

Sementara itu, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Profesor Madya Dr. Mohd. Asri menegaskan bahawa Islam melarang umatnya daripada memaksa orang lain untuk menganut agama Islam atau memaksa mereka untuk mengatakan agama Islam itu benar.

“Menjadi tanggungjawab kita untuk berdakwah dengan menunjukkan contoh yang baik. Kita tidak boleh mengherdik orang bukan Islam dalam perkara yang tidak menimbulkan permusuhan, bahkan Islam tidak membenarkan kita mencerca berhala mereka jika cercaan itu mencetuskan permusuhan dan mereka akan mencerca agama kita tanpa pengetahuan,” katanya.

Bercakap tentang Islam di enam wilayah Andaman, Ustaz Abdullah berkata, kerajaan Thailand memberikan kebebasan untuk umat Islam mengurus sendiri hal ehwal agama dan Majlis Agama Islam Wilayah berperanan mengajar serta membimbing mereka tentang ilmu berkaitan dengan agama.

Bagi mengukuhkan hal ehwal agama terutamanya dalam ilmu fiqah di Thailand, beliau berharap agar pemimpin agama dalam Majlis Agama Islam di wilayah  tersebut dapat mempelajari agama Islam dan berusaha untuk mendalaminya.

Kita bermohon kepada Allah supaya memberikan petunjuk dan rahmat, serta membuka hati para pemimpin agama di keenam-enam wilayah ini. Dengan adanya rahmat ini, maka kerja dakwah Islam di enam wilayah dapat diperluas.

“Saya yakin Allah SWT akan menjadikan umat Islam yang menetap di enam wilayah Andaman menjadi lebih berkualiti, malah lebih baik lagi, setaraf mengikut jejak langkah saudara Muslim di Malaysia,” katanya ketika menutup perbincangan yang berlangsung pada malam tadi.

Perasmian seminar tersebut telah disempurnakan oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Raja Muda Perlis merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

Sumber: Jendela DBP

Please publish modules in offcanvas position.

splwpk-procurement splwpk-online-e-participation Dasar Privasi

Dasar Privasi

Dasar Privasi

Penafian

MYHRMIS MOBILE