MAIPs STAFF MENU
Please click Log in button above to enter MAIPs staff menu section.
RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Kauthar, Tawau, semalam.
Keberangkatan tiba Baginda bersama Delegasi Program “Eks PERBAH Tahun 2024” anjuran Kerajaan Negeri Perlis ke Tawau disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Masjid berkenaan, Khalid Tahir dan Pegawai Tadbir Agama Bahagian Tawau, Kahar Sundu.
Hadir sama mengiringi Baginda Mufti Perlis, Prof Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof. Dr. Muhamad Rozaimi Ramle dan Pengarah Yayasan Islam Perlis (YIPs) Noorhamizi Mohd Yaacob.
Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Yang DiPertua MAIPs turut berkenan menyerahkan sumbangan MAIPs berjumlah RM2,000 bagi tujuan pelaksanaan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan anjuran masjid tersebut.
Keberangkatan Raja Muda Perlis amat signifikan kerana masjid tersebut dirasmikan oleh ayahanda Baginda, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 13 Ogos 2004 ketika Baginda bertakhta sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-12.
Untuk rekod, pembinaan Masjid Al-Kauthar yang menelan belanja RM 31.5 juta telah siap pada Oktober 2002.
Tuanku Syed Faizuddin Putra mengajak semua sama-sama berdoa agar kita sentiasa mendapat perlindungan dan pertolongan daripada Allah Azza Wajalla, dan dikurniakan barakah yang berterusan.
Semoga negara Malaysia terus berada dalam kemakmuran, dilindungi dari apa jua bentuk bala bencana serta perkara yang tidak diingini.
Sumber: Suara Merdeka