Skop agihan zakat Baitulmal MAIPs adalah berdasarkan yang telah ditetapkan oleh syara'. Ia mempunyai 8 asnaf zakat iaitu:
ASNAF FAKIR : Seseorang yang tidak mempunyai apa-apa harta atau pekerjaan atau menerima pendapatan dari sumber-sumber lain yang jumlahnya tidak sampai 50% daripada keperluan harian dan keperluan tanggungannya dan tidak sampai 50% daripada belanja hidup seseorang yang hidup sederhana dan orang-orang tanggungannya.
ASNAF MISKIN : Seseorang yang mempunyai pekerjaan atau hasil usaha yang hanya memenuhi sebahagian keperluan asasinya tetapi tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian dan juga menampung keperluan orang-orang tanggungannya.
ASNAF AMIL : Mereka yang terlibat secara langsung dengan institusi zakat samada individu atau organisasi bagi mengurus dan mentadbir hal ehwal zakat termasuk urusan pemungutan, agihan, urusan kewangan dan sebagainya.
ASNAF MUALLAF : Mereka yang dijinakkan hatinya atau yang diharapkan kecenderungan hatinya untuk menerima Islam atau yang memeluk Islam (tetapi belum kukuh Islamnya). Ianya dibahagikan kepada dua iaitu:
- Beragama Islam
- Baru memeluk Agama Islam (Saudara Baru)
- Ketua-ketua kaum Islam yang baik hubungan dengan ketua-ketua kumpulan bukan Islam yang sejawatan atau sama taraf dengannya
- Ketua-ketua kaum Islam yang masih lemah iman tetapi masih ditaati oleh orang-orang yang di bawah pimpinannya
- Orang-orang Islam yang tinggal di perbatasan yang berhampiran dengan negara musuh Islam.
- Bukan Beragama Islam
- Boleh dipujuk supaya masuk Islam
- Boleh dipujuk supaya tidak merbahaya kepada orang Islam
ASNAF AR-RIQAB : Memerdekakan orang-orang Islam daripada cengkaman perhambaan dan penaklukan samada dari segi cengkaman fizikal atau mental seperti cengkaman kejahilan dan terbelenggu di bawah kawalan.
ASNAF AL-GHARIMIN : Golongan yang berhutang untuk memenuhi keperluan asas bagi kemaslahatan diri, keluarga tanggungannya atau masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan dibenarkan oleh hukum syarak.
ASNAF FISABILILLAH : Mana-mana orang atau pihak yang melibatkan diri dalam suatu aktiviti atau aktiviti untuk menegak, mempertahankan dan mendakwahkan agama Islam serta kebajikannya.
ASNAF IBNUSSABIL : Mereka yang terputus bekalan (perbelanjaan) semasa dalam perjalanan (safar) dan orang yang hendak memulakan perjalanan (safar) yang diharuskan oleh syarak.