Pusat Berita
Pusat Berita
Tapisan Berita
Paling Terkini
ARAU : Kerajaan melalui Jabatan Pertanian melaksanakan projek pajakan ladang mangga harumanis milik agensi itu kepada pengusaha buah berkenaan di negeri ini dalam usaha untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman tersebut sekali gus menambah sumber pendapatan rakyat.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, projek perintis yang bermula sejak awal bulan itu melibatkan keseluruhan 6.06 hektar ladang harumanis kepada tiga individu.
Katanya, ketiga-tiga pemajak akan menerima 2.02 hektar ladang mangga harumanis yang masing-masing memiliki kira-kira 260 pokok harumanis dewasa.
“Kami akan memantau selama semusim bagaimana mereka menguruskan dua hektar ladang ini hinggalah ke proses penjualan dan melihat hasilnya. Sekiranya projek ini berjaya, maka kita akan kembangkan kepada banyak ladang-ladang lain milik Jabatan Pertanian.
“Mereka yang dipilih untuk memajak ladang ini sememangnya mempunyai pengalaman menguruskan ladang harumanis sendiri. Kita akan memberi khidmat nasihat tetapi terpulang pada mereka untuk menguruskan ladang sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Perlis (Pertanian) dan penanaman serentak 4,500 pokok mangga harumanis Perlis 2020 di Pusat Internet Malaysia, Simpang Empat di sini hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Sebanyak 4,500 pokok mangga harumanis ditanam secara serentak di 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri iaitu 100 pokok bagi setiap DUN iaitu tiga pokok bagi setiap rumah.
Harga setiap satu pokok tersebut adalah RM15, namun peserta hanya perlu membayar RM5 sepokok kerana mendapat subsidi sebanyak RM10 daripada kerajaan negeri.- UTUSAN ONLINE
- 2020/12/07 7:45 AM
- Utusan Online
Program Penanaman Serentak 4,500 lagi Pokok Mangga Harumanis Perlis di seluruh negeri ini pada hari ini dilihat sebagai satu inisiatif yang baik bagi merancakkan lagi industri Harumanis Perlis.
Para peserta yang terlibat dalam program ini haruslah mengambil peluang tersebut dengan sebaik mungkin. Pokok yang ditanam di sekeliling rumah perlu diurus dengan baik sehingga dapat mengeluarkan hasil yang berkualiti dan selamat untuk dipasarkan.
‘Ikutilah kursus dan dapatkanlah khidmat nasihat daripada Jabatan Pertanian dalam pengurusan Harumanis mengikut amalan teknologi yang ditetapkan’.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan ‘Penanaman Serentak 4,500 Pokok Mangga Harumanis Perlis, Tahun 2020’ bersempena dengan ‘Majlis Pelancaran Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Perlis (Sektor Pertanian)’ yang diadakan di Pusat Internet Malaysia Kampung Batas Lintang Simpang Empat.
Keberangkatan tiba baginda ke program anjuran Jabatan Pertanian Negeri Perlis itu disambut oleh Pengarahnya Hafizuddin Othman serta para pegawai kanan jabatan.
Turut hadir mengiringi Tuanku Raja Muda ialah Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.
Pada kesempatan yang sama Tuanku Syed Faizuddin Putra, menitahkan rasa amat tertarik dengan program-program pertanian yang telah dirancang dan sedang dilaksanakan yang secara khusus memberi tumpuan dan keutamaan kepada golongan B40.
Tambah baginda, penularan COVID-19 jelas memberi kesan yang begitu besar terhadap sumber pendapatan dan keperluan sara hidup.
Oleh itu, baginda amat menggalakkan golongan B40 khususnya menyertai aktiviti pertanian kerana sekiranya diusahakan dengan cara dan kaedah yang betul, InsyaAllah ia akan mampu memberi sumber pendapatan sampingan yang dapat membantu memenuhi keperluan kos sara hidup dan meringankan beban kewangan keluarga masing-masing.
Untuk rekod, walaupun terdapat pengurangan jumlah pengunjung ke Perlis untuk musim Harumanis pada tahun ini berikutan Perintah Kawalan Pergerakan, namun, Harumanis Perlis tetap mendapat sambutan menggalakkan menerusi penjualan atas talian.
5 Disember pada setiap tahun ialah ‘World Soil Day’ yang disambut bagi memberi fokus dan juga kesedaran kepada masyarakat tentang betapa mustahaknya pengurusan sumber tanah yang lestari di seluruh dunia.
- 2020/12/07 7:44 AM
- Utusan Online
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar semua pihak memberikan sepenuh perhatian kepada usaha untuk melahirkan ‘Masyarakat Berfikir’.
Titah baginda lagi, usaha mewujudkan ‘Masyarakat Berfikir’ atau ‘Thinking Society’ adalah cabaran yang memerlukan usaha semua pihak dalam menjayakannya.
Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis di sesi taklimat selepas berkenan berangkat bersama-sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil mengetuai lawatan tinjauan bagi cadangan ‘Program Transformasi Kg. Seberang Ramai Kuala Perlis’.
Keberangkatan baginda ke majlis yang diadakan di Dewan Saujana, Sekolah Kebangsaan Kg. Seberang Ramai di Jalan Kampong Wai yang merupakan salah sebuah sekolah yang terlibat dengan program ‘Sekolah Amanah Jamalullail MAIPs’ itu diiringi sama Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad, Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kangar (MPK), Wan Ahmad Fazli Wan Kamis, Pengarah SWCorp Negeri, Shamsuharizal Basir, ketua-ketua agensi negeri dan Persekutuan, IPT serta pemimpin masyarakat setempat.
Lawatan berkenaan adalah susulan kepada usaha bersepadu pelbagai agensi di negeri Perlis dalam menjayakan hasrat untuk mempertingkatkan tahap kebersihan, kerajinan, perubahan minda rakyat dan peluang penjanaan ekonomi kepada penduduk setempat.
Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut menitahkan bahawa adalah menjadi fokus MAIPs untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat melalui pendekatan agihan holistik yang telah dan bakal dirancang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj. Mohd Nazim Mohd Noor ketika ditemui berkata, pelbagai inisiatif telah dirancang melalui kerjasama dengan pelbagai pihak sama ada program tanggungjawab sosial korporat dan juga komitmen pelbagai agensi.
“Kerjasama padu pelbagai pihak yang terdiri daripada agensi kerajaan, swasta, institusi pengajian tinggi, individu serta dinaungi sendiri ilham dan sokongan Diraja telah mencetuskan sinergi yang utuh dalam usaha menjayakan cita-cita besar ke arah melaksanakan transformasi menyeluruh kepada penghuni di sini. Inisiatif ini adalah sejajar dengan usaha berterusan ke arah melahirkan masyarakat madani Perlis bermentaliti kelas pertama dalam tindakan seperti yang dihasratkan. Dalam masa sama, faktor utama kejayaan transformasi ini adalah bergantung kepada para penghuni di sini yang perlu mempraktikkan nilai perubahan minda dan tindakan secara konsisten,” jelas Mohd Nazim.
- 2020/12/07 7:42 AM
- Utusan Online
Rakyat diajak supaya secara beramai-ramai menanam pokok dan seterusnya memuat naik ke sosial media masing-masing dengan hashtag #Mypokokchallenge bersempena sambutan Hari Alam Sekitar Negara yang disambut baru-baru ini sebagai menyahut saranan ‘Kempen Penghijauan Bumi dan Penanaman Pokok’ oleh pihak kerajaan.
- 2020/12/07 7:40 AM
- Utusan Online
KANGAR : Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru seluruh rakyat agar sentiasa menjunjung ‘Titah 7 Amanat Raja Perlis’ yang menyentuh pelbagai aspek berkaitan kemajuan Islam dan pemikiran rakyat.
Titah Tuanku Syed Faizuddin, amanat tersebut sarat dengan nasihat dan harapan Raja Perlis,Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
“Ia menzahirkan kesungguhan Tuanku Syed Sirajuddin dalam mendaulatkan agama Islam dengan berpegang teguh kepada ajarannya yang sahih,” titah baginda selepas berkenan menyempurnakan penyerahan plaka ‘Titah 7 Amanat Tuanku Raja Perlis’ dan meninjau prasarana surau Al-Madrasatul Sirajumunir Persatuan Liga Muslim Perlis di Jalan Bintong di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Dr. Hazman Hassan.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Hakim Syarie negeri, Ibrahim Deris dan Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah MAIPs, Mohd Nazri Md Rejab.
Pada majlis berkenaan, Tuanku Syed Faizuddin turut menyaksikan penyerahan surat sokongan ikhtisas tenaga pengajar kepada jemaah surau berkenaan yang terdiri daripada komuniti India Muslim Perlis di bawah seliaan Persatuan Liga Muslim Perlis.
Turut disampaikan ialah surat pelantikan tenaga pengajar guru majlis daripada Jabatan Mufti Perlis yang diterima oleh Setiausahanya, Khalil Rahman bagi pihak pertubuhan tersebut. -UTUSAN ONLINE
- 2020/12/04 4:26 PM
- Utusan Online
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru kepada seluruh rakyat agar sentiasa menjunjung ‘Titah 7 Amanat Raja Perlis’ yang menyentuh pelbagai aspek berkaitan kemajuan Islam dan pemikiran rakyat.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, ‘Titah 7 Amanat Tuanku Raja Perlis’ yang sarat dengan nasihat dan harapan baginda, menzahirkan kesungguhan Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dalam mendaulatkan agama Islam yang suci dengan berpegang teguh kepada ajarannya yang sahih.
Demikian titah baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyempurnakan penyerahan plaka ‘Titah 7 Amanat Tuanku Raja Perlis’ dan seterusnya neninjau prasarana Surau Al-Madrasatul Sirajumunir Persatuan Liga Muslim Perlis di Jalan Bintong, Kangar.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Dr. Hj Hazman Hassan.
Turut mengiringi baginda ialah Ketua Hakim Syarie Negeri Perlis, Ibrahim Deris dan Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf, Hartanah dan Mal MAIPs, Mohd Nazri Md Rejab.
Pada majlis berkenaan, Tuanku Raja Muda turut menyaksikan penyerahan ‘Surat Sokongan Ikhtisas Tenaga Pengajar’ kepada jemaah surau berkenaan yang terdiri daripada komuniti India Muslim Perlis di bawah seliaan Persatuan Liga Muslim Perlis. Turut disampaikan ialah ‘Surat Pelantikan Tenaga Pengajar Guru Majlis daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis’ yang diterima oleh Setiausahanya, Hj Khalil Rahman bagi pihak pertubuhan tersebut.
Sempena prrogram MAIPs Peduli Kali ke 69 vagi tahun 2020 yang bermula dan berakhir di perkarangan Sekolah Kebangsaan Stella Maris Kangar tersebut, sebanyak 3 buah keluarga asnaf terpilih menerima bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.
- 2020/12/04 4:24 PM
- Bernama