KANGAR — Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail mengingatkan umat Islam supaya kembali kepada al-Quran sebagai panduan utama dalam menghadapi pelbagai persoalan dan cabaran kehidupan.
Baginda bertitah, al-Quran adalah penyelesaian muktamad bagi perbezaan yang mungkin timbul dalam kalangan umat Islam.
Titah baginda, setiap umat Islam wajib memahami isi kandungannya dan mengamalkan pengajarannya dalam kehidupan seharian, menjadikannya kompas sebenar untuk kehidupan.
“Al-Quran adalah kitab suci yang penuh dengan mukjizat. Ia harus dirasai semua, tanpa mengira pemahaman mereka terhadap bahasa Arab.
“Kecantikan dan panduan dalam al-Quran mesti dikaji, dihayati dan diterapkan dalam tindakan serta amalan harian kita,” titah Tuanku Syed Sirajuddin sempena majlis penutupan Konvensyen Sunnah Antarabangsa Perlis (PISC) 2025 di Dewan 2020, di sini, hari ini.
Majlis penutupan itu turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli bersama penceramah dan peserta dari enam negara. PISC diadakan bermula Jumaat lalu dengan tema ‘Al-Quran: Petunjuk Ilahi’.
Tuanku Syed Sirajuddin juga bertitah, Perlis menekankan komitmen terhadap kepentingan ilmu dan kesahihan fakta, terutama mengenai perkara agama, bagi memastikan pemahaman Islam kekal pada jalan yang benar.
“Negeri ini percaya kesahihan fakta, yang dipandu al-Quran dan sunah, penting untuk menyeimbangkan kehidupan duniawi dan rohani seorang Muslim,” titah baginda.
Baginda juga menyorot kejayaan negeri ini menganjurkan acara berasaskan ilmu berskala besar seperti Perkampungan Sunnah dan Konvensyen Sunnah untuk mengukuhkan pemahaman Islam.
Program ini merupakan cetusan idea daripada Mufti Negeri Perlis Sahibus Samahah Profesor Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, setelah sambutan yang baik dengan membina kejayaan yang luar biasa daripada konvensyen sulung pada Januari 2024.
Konvensyen ini bertujuan untuk mendalami kefahaman dan penghayatan al-Quran dan Sunnah sambil memupuk pertumbuhan intelek dan kerjasama.
Konvensyen ini bukan sahaja platform untuk intelektual dan pertumbuhan rohani tetapi juga peluang untuk meletakkan Negeri Perlis sebagai hab keilmuan Islam di persada global.
Sejajar dengan kempen “Visit Perlis 2024-2025”, konvensyen ini membuka pintu Negeri Perlis kepada pengunjung dari seluruh Malaysia dan luar untuk merasai pengalaman di negeri yang kaya budaya, pengetahuan, dan keramahan rakyat yang luar biasa ini.
Konvensyen kali ini dihadiri penceramah jemputan dari dalam dan Luar Negara, antaranya Sheikh Assem Al Hakeem, (Arab Saudi), Dr. Zakir Naik, (India), Dr. Abu Ameenah Bilal Philips, (Kanada), Dr. Muhammad Salah, (Mesir), YBhg. Dato’ Sheikh Hussein Yee, (Malaysia) serta penceramah-penceramah dari dalam dan luar negara.
Tarikh kemaskini: 3/7/2025