PADANG BESAR, 11 April 2019 (Khamis) – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail memuji langkah pantas yang diambil oleh masyarakat setempat di Pantai Sungai Bahru, Perlis yang telah melaporkan mengenai pendaratan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sehingga berjaya diberkas mereka dalam jumlah yang besar pada 8 April dan juga pada awal Mac lalu.
Menyedari kekangan bajet serta keanggotaan, titah baginda, maka tidak dapat tidak laporan segera dan berfakta tepat oleh masyarakat setempat di segenap pelosok negeri ini kepada agensi-agensi yang dipertanggungjawabkan akan mampu memainkan peranan utama dalam memastikan kedaulatan dan keselamatan secara khasnya dan negara amnya akan sentiasa dapat dipelihara dan dipertahankan.
Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Op Sifar Keciciran Sekolah Peringkat SMK Raja Puan Muda Tengku Fauziah, SK Titi Tinggi dan SK Lubuk Sireh’ yang diadakan di Masjid An Nur, Kampung Chantek, Padang Besar (U) petang semalam.
Keberangkatan tiba baginda ke program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Perlis yang disekalikan dengan ‘Kayuhan MAIPs Peduli Menjejaki dan Menyantuni Asnaf Kali ke 25 bagi tahun 2019’ itu disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menasihatkan rakyat supaya tidak sekadar melaporkan mengenai pemboloson PATI semata-mata, tetapi hendaklah juga menjadi mata dan telinga untuk pihak berkuasa dengan melaporkan mengenai apa-apa sahaja yang didapati mencurigakan jika ada berlaku dalam kawasan masing-masing.
Ini termasuklah, titah baginda, sarang-sarang dadah dan ketum, ajaran sesat, penyeludupan dan pemerdagangan senjatapi atau barang-barang terlarang, perjudian haram, pencerobohan hutan, lokasi-lokasi lepak pelajar ponteng sekolah dan lain-lain lagi supaya tindakan awal sewajarnya dapat diambil sebelum melarat dan tidak lagi dapat dibendung.
Sejurus selepas majlis tersebut baginda meluangkan masa untuk melawat satu lagi lokasi pelancongan menarik di negeri ini iaitu dengan menyertai aktiviti berjalan di atas Titian Kanopi (Canopy Walk) yang terdapat di Stesen Penyelidikan Mata Ayer, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) yang juga dikenali sebagai SPF Mata Ayer Perlis yang mempunyai ketinggian 17 meter.
Di akhir program baginda turut berkenan singgah bagi merasmikan satu lagi ‘Projek Peningkatan Sosio-Ekonomi Asnaf MAIPs’ berupa ‘Kedai Makan Nasi Kerabu dan Roti Canai’ milik Mohd Latifi Abdul Halim (No Tel : 0166345894) beralamat di No. 135 Kampung Titi Tinggi, Jalan Padang Besar (U).
Tarikh kemaskini: 3/6/2025