Oleh: Sholina Osman
6 MAC 2025
Golongan pelajar yang merupakan generasi pewaris negara ini perlu memiliki kesedaran untuk terus mengeratkan perpaduan di negara Malaysia yang berbilang kaum ini.
Sentiasalah mengamalkan prinsip-prinsip serta nilai-nilai murni yang terkandung dalam Rukun Negara.
Teruslah menjiwai sikap rakyat Malaysia yang dikenali sebagai bersopan-santun dan bertimbang rasa.
SUMBANGAN AGIHAN ZAKAT
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyampaian Sumbangan Agihan Zakat yang berlangsung di Masjid Darul Salam, Padang Keria, Simpang Empat, baru-baru ini.
Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Majlis yang dianjurkan secara konsisten oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) ini bertujuan meringankan beban keluarga asnaf serta membantu golongan memerlukan di negeri ini.
150 ASNAF TERPILIH
Pada majlis tersebut, sejumlah RM105,000 telah diagihkan kepada 150 asnaf terpilih, melibatkan 75 orang anak kariah Padang Keria dan 75 orang lagi anak kariah Permatang Bongor.
Setiap penerima menerima sumbangan sebanyak RM700 bagi menampung keperluan harian dan perbelanjaan asas masing-masing.
Sebagai usaha menyeluruh dalam menjaga kebajikan asnaf, majlis ini turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma yang dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan Negeri serta ceramah berinformasi seperti ‘Menjauhi Najis Dadah’ oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis dan ‘Bangun Jiwa Asnaf’ oleh pihak MAIPs sendiri. – JM
Tarikh kemaskini: 3/26/2025