SONGKHLA, 24 Ogos 2026: Kerajaan Negeri Perlis bakal membawa mesej perpaduan dan mempromosikan Tahun Melawat Perlis 2026 hingga ke Thailand menerusi penganjuran KL-Bangkok Unity Ride, kayuhan basikal rentas sempadan dari Perlis ke Bangkok pada September depan. RujukanGeografi
Program anjuran Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Perhutanan Negeri Perlis itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perpaduan Negara dan Pertubuhan Nadi Sihat.
Kayuhan dijadual bermula pada 6 September dari Dewan Serbaguna Bukit Air, Kompleks Ekopelancongan Sungai Batu Pahat, Perlis sebelum melalui Hat Yai, Hua Sai, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Lang Suan, Chumphon, Bang Saphan, Prachuap Khiri Khan dan beberapa lokasi lain sebelum berakhir di Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok pada 16 September.
Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, Ag. Shaffie Ag. Ahmadni berkata, program berkenaan menghimpunkan wakil pelbagai etnik dan kaum dari seluruh Malaysia untuk bertindak sebagai duta perpaduan dalam mengetengahkan nilai keharmonian serta kebersamaan.
Menurutnya, kayuhan itu turut menjadi platform mengeratkan hubungan masyarakat Malaysia dan Thailand selain mempromosikan produk, destinasi serta aktiviti pelancongan dalam kalendar Tahun Melawat Perlis 2026 kepada pasaran domestik dan antarabangsa.
Beliau berkata demikian ketika mempersembahkan taklimat mengenai program berkenaan kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena keberangkatan Baginda mengadakan lawatan ke Songkhla Zoo di sini sempena Program Kayuhan Malaysia Merdeka 2026. RujukanGeografi
Turut berangkat ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Keberangkatan Baginda disambut Pengarah Songkhla Zoo, Ularika Kongphrom.
Hadir sama Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi; Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Noor Azman Abdul Rahman; Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis, Yang Zaimey Yang Ghazali dan Pegawai Kewangan Negeri Perlis, Saharuddin Sarwan.
Menurut Ag. Shaffie, lawatan ke Songkhla Zoo turut menjadi penanda aras bagi meneliti pengurusan zoo terutama membabitkan pemilihan dan pengurusan kawasan, aktiviti pelancongan serta hidupan liar untuk menilai potensi pelaksanaan konsep bersesuaian di Perlis.
Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyaksikan persembahan penguin dan singa laut serta aktiviti memberi makan kepada beberapa spesies termasuk harimau, beruang matahari, lemur ekor cincin dan binturong.
Baginda turut berkenan supaya pendekatan pengurusan bersesuaian dipertimbangkan untuk dikembangkan di Perlis dengan mengambil kira potensi pengurusan Beruk Kentoi di Banjaran Nakawan.
Ag. Shaffie berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Perlis ketika ini melaksanakan pendekatan konservasi terbuka Beruk Kentoi di Taman Negeri Perlis sekitar Wang Kelian dengan memberi penekanan kepada pendidikan dan kesedaran pengunjung yang memasuki habitat hidupan liar berkenaan.
Antara inisiatif dilaksanakan ialah pemasangan papan maklumat mengenai Beruk Kentoi dan papan tanda kawasan lintasan, selain usaha memperkayakan habitat menerusi penanaman pokok sumber makanan utama primat berkenaan.
Cadangan membina pelantar pemerhati di sekitar Viewpoint Wang Kelian turut dipertimbangkan, manakala potensi pendekatan sama dilihat boleh dikembangkan di kawasan Gua Kelam.
Sementara itu, Ag. Shaffie berkata, pelaksanaan KL-Bangkok Unity Ride di Perlis dijenamakan sebagai Semarak Perpaduan Perlis dengan tiga program utama sebagai pembuka tirai.
Program Unity Pulse Night Run akan berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 4 September bagi menghimpunkan masyarakat dan pelajar daripada pelbagai latar belakang menerusi aktiviti riadah.
Ia disusuli program Satu Suara, Seribu Warna pada 5 September yang dijangka menghimpunkan lebih 30,000 murid Tabika Perpaduan dari seluruh negara dalam aktiviti mewarna serentak bertemakan patriotisme, perpaduan dan penghijauan di Dewan Serbaguna Bukit Air.
Program itu turut menyasarkan pengiktirafan Malaysia Book of Records bagi penyertaan teramai dalam aktiviti mewarna dengan tema berkenaan.
Fasa seterusnya menyaksikan peserta KL-Bangkok Unity Ride memulakan kayuhan rentas sempadan pada 6 September.
Sepanjang perjalanan, peserta akan membawa mesej perpaduan Malaysia selain melaksanakan promosi produk, destinasi dan pakej pelancongan Perlis kepada masyarakat serta pemain industri pelancongan Thailand. Komunikasi& Pengajian Media
Program berkenaan turut merangkumi sesi pertemuan dan jaringan strategik antara pemain industri pelancongan Malaysia dan Thailand di beberapa lokasi termasuk Hat Yai dan Bangkok.
Elemen ekopelancongan serta konservasi Perlis termasuk Banjaran Nakawan dan konservasi Beruk Kentoi turut diketengahkan sebagai sebahagian daripada naratif pelancongan alam semula jadi dan kelestarian negeri itu.
Majlis perasmian penutup KL-Bangkok Unity Ride dijadual berlangsung di Hotel Almeroz, Bangkok pada 18 September dengan Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil diundang berangkat menyempurnakannya.
Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis
Aplikasi MyHRMIS Mobile: Galeri Aplikasi Mudah Alih Kerajaan Malaysia