10 MAC 2025
Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyantuni pasukan keselamatan menerusi Program Eksesais Perlis-Sabah 2025 (Eks Perbah) baru-baru ini.
Pada lawatan ini, keberangkatan tiba Baginda di Marina Jetty telah disambut oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan Ketua Polis Perlis, Datuk Muhammad Abdul Halim.
Baginda kemudiannya berkunjung ke pos Pulau Balambangan yang diiringi oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Lawatan seterusnya ke Pulau Malawali yang menempatkan petugas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Batalion 16 Pasukan Gerakan Am (PGA), Briged Sabah.
MENEMPATKAN POS ATM
Baginda juga berkenan ke Pulau Jambongan yang turut menempatkan Pos ATM dengan melibatkan kerjasama kawalan keselamatan di perairan tanah air daripada Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Selain itu, Raja Muda turut menyampaikan sumbangan kepada setiap petugas di pos berupa peralatan harian untuk pegawai dan anggota yang bertugas.
Antara sumbangan lain diberikan adalah seperti peralatan mandian, sistem lampu solar, televisyen, tangki air, buku, “chest freezer”, mesin rumput, karpet surau dan pelbagai lagi dengan kerjasana Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
BERKESEMPATAN BERAMAH MESRA
Baginda turut berkesempatan beramah mesra dengan penduduk setempat di pulau-pulau berkenaan.
Mengakhiri lawatan, delegasi Eks PerBah turut singgah di Balai Polis Karakit dan berkesempatan meninjau ke kawasan sekitar Pulau Banggi.
Sebagai rekod, Eks PerBah merupakan program cetusan Tuanku Syed Faizuddin Putra bermula sejak tahun 2003 sebagai tanda sokongan moral buat anggota keselamatan yang bertugas di sempadan perairan negara di Sabah.
Tarikh kemaskini: 3/26/2025