Raja Perlis terima mengadap Pesuruhjaya Tinggi India

Raja Perlis terima mengadap Pesuruhjaya Tinggi India

ARAU, 28 Oktober – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid menerima menghadap Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia yang baharu, Somnath Ghosh, di Balai Menghadap Biru, Istana Arau, hari ini.

Kunjungan hormat itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala yang terjalin antara India dan Perlis, selain meneroka peluang kerjasama baharu dalam pelbagai sektor.

Dalam pertemuan berkenaan, kedua-dua pihak membincangkan potensi kerjasama, khususnya dalam bidang pendidikan dan ekonomi, demi manfaat serta kemakmuran bersama.

Hubungan Malaysia-India mempunyai sejarah panjang, antaranya diperkukuh menerusi lawatan negara rasmi pertama Yang di-Pertuan Agong Ketiga, Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, ke India pada Disember 1961.

Lawatan bersejarah itu menjadi antara asas penting dalam mempererat hubungan diplomatik moden antara Persekutuan Tanah Melayu ketika itu dengan India, selain mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara.

Turut berangkat pada majlis itu ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Hadir bersama ialah Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail serta anakanda puteri kedua baginda, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content