ARAU, 24 Okt — Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menerima kunjungan silaturahim Sultan dan Yang di-Pertuan Besar Kesultanan Langkat, Al-Hakimul Karim Tuanku Ariefanda Abdul Djalil Rahmat Shah dari Indonesia, di Galeri Diraja Arau, di sini.
Turut berangkat pada pertemuan itu Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Sultanah Langkat, Dr. Wulandari Nasution.
Kesultanan Langkat ialah antara kerajaan Melayu Islam yang pernah memainkan peranan penting dalam sejarah rantau Sumatera Timur. Wilayah kesultanan itu kini terletak di Kabupaten Langkat, Sumatera Utara.
Kesultanan berkenaan turut dikenali kerana kekayaan hasil bumi, keunikan tradisi kebudayaan Melayu serta sumbangannya terhadap perkembangan kesusasteraan dan persuratan Melayu.
Pertemuan itu membuka ruang untuk kedua-dua pihak terus menghargai persamaan budaya dan legasi Kesultanan Melayu yang menjadi sebahagian daripada khazanah serantau.