KANGAR, 1 Januari- Sejumlah RM1,875,300 disumbangkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada asnaf terpilih seluruh Perlis dan selatan Thailand sepanjang tahun 2022.
Sumbangan menerusi 83 Program Kayuhan Berbasikal MAIPs Peduli, Program Ziarah Mahabbah MAIPs di Phuket, Thailand dan di Slim River, Perak bersama pihak FGV itu telah memberi manfaat kepada 2,679 asnaf.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor, sumbangan disampaikan terus kepada asnaf oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang Dipertua MAIPs atau menerusi wakil amil setiap kariah masjid yang disantuni.
Sebanyak 81 kali acara kayuhan diadakan di segenap pelusuk negeri Perlis ini bernilai RM1,871,100 disalurkan kepada 2,673 penerima dengan setiap seorang menerima RM700, manakala dua kali lagi dilaksanakan di Phuket, Thailand sempena Program Ziarah Mahabbah MAIPs dan di Slim River, Perak bersama pihak FGV sebanyak RM4,200 untuk enam orang penerima.
Tuanku Syed Faizuddi turut menitahkan rasa syukur dan amat berterima kasih kepada semua penyumbang zakat melalui MAIPs tidak kira di mana sahaja mereka berada.
Sesi kayuhan pertama pembuka tirai pada tahun 2023 akan diadakan pada 5 Januari ini di sekitar bandar Kangar bersama dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).
Wartawan: Wan Noor Azley
Tarikh kemaskini: 4/8/2025