KANGAR : Sebanyak RM3,834,785 diperuntukkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi membina rumah membabitkan 83 penerima di negeri ini.
Selain program agihan bantuan sebuah rumah MAIPs itu, turut disalurkan adalah bantuan membaik pulih rumah melibatkan 250 penerima dengan nilai RM5,596,275.
MAIPs juga menyalurkan bantuan mikro baik pulih rumah sebanyak RM2,550,000 melalui 102 kariah pada tahun lalu.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, MAIPs sangat menghargai individu-individu yang sentiasa bermurah hati dan menjalankan tanggungjawab menghulurkan sumbangan zakat untuk dikongsi bersama-sama asnaf yang memerlukan bantuan di negeri ini.
Terdahulu, baginda berkenan berangkat singgah merasmikan Projek Peningkatan Sosioekonomi Asnaf MAIPs berupa perniagaan apam balik yang diusahakan Yusmala Abdul Razak,41, di Kampung Behor Temak, di sini.
Mengiringi baginda Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Sementara itu, baginda merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah, walaupun negara sudah memasuki fasa endemik, masih ramai yang terkesan dan memerlukan bantuan.
Tarikh kemaskini: 4/16/2025