Jangan Guna Nama Individu Hidup Untuk Bangunan, Jalan – Raja Perlis

KANGAR: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memberi peringatan agar setiap jalan, bangunan, masjid dan sekolah tidak boleh menggunakan nama mana-mana individu yang masih hidup.

Titah baginda, keputusan berhubung perkara itu pernah dibuat sewaktu baginda memegang jawatan Yang Dipertuan Agong bagi tempoh 2001 sehingga 2006 lalu.

Tuanku Syed Sirajuddin bertitah, peringatan berkenaan memandangkan hanya nama-nama raja sahaja boleh digunakan bagi tujuan itu.

“Jadi hari ini, beta tolong sampaikan maklumat yang telah lama terbungkus. Semua (pelaksanaan) ini ada sebab-sebab tertentu oleh kabinet pada masa itu dan beta ingatkan rakyat untuk (rujukan) pada masa depan,” titah baginda ketika merasmikan Kompleks Penyiaran Tuanku Syed Putra di sini hari ini.

Berangkat sama, Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut bertitah agar kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia dapat menyegerakan peruntukan menaik taraf infrastruktur komunikasi di Perlis melalui Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs) yang bertindak sebagai pelaksana projek berimpak tinggi di negeri ini.

“Peruntukan naik taraf infrastruktur digital ini amat penting buat Perlis bagi mewujudkan ruang peningkatan ekonomi sektor pertanian, kesihatan, pendidikan, pembuatan, peruncitan dan perkhidmatan di sini,” titah baginda.

Dalam pada itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kompleks serba moden yang dibina itu dilengkapi dengan beberapa peralatan digital yang merupakan antara terkini di Malaysia.

Katanya, penggunaan peralatan berkenaan akan memberi keselesaan bukan sahaja kepada penyiar dan warga kerja Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perlis malah para pendengar juga dapat menikmati kualiti audio lebih jelas.

“Kita juga ada membuat perancangan awal bagi melakukan pemodenan di lima RTM melibatkan negeri Johor, Melaka, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan menerusi beberapa kaedah yang sedang dipertimbangkan oleh kerajaan,” katanya.

Kongsi ke Media Sosial:

Paling Terkini

Semak Agihan

Semak Kutipan

Mohon

Bayar

Skip to content